Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama... Salleh Marican

Tahukah anda, oleh kerana Salleh Marican cakap "No" empat kali, beliau dapat kahwin!

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama... Salleh Marican

Encik Salleh Marican. (Gambar: Nurulkhasanah Agost/BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Tahukah anda, oleh kerana Salleh Marican cakap "No" empat kali, beliau dapat kahwin!

Itulah antara cerita-cerita menarik 'bukan politik' yang Encik Salleh, peniaga mapan yang kini mahu menjadi Presiden Singapura, kongsikan dalam segmen '5 Soalan Bersama...' ini.

Mahu tahu apa pula perkara "paling gila" yang pernah Salleh Marican lakukan? Ayuh bersama wartawan Nurulkhasanah Agost mengenali beliau dengan lebih dekat lagi, dalam wawancara ini...

SOALAN 1

Khasanah: Apa perkara yang boleh dikatakan paling ‘gila’ yang pernah anda lakukan dan mengapa? Apa renungan anda tentang perkara tersebut setelah melakukannya?

Salleh Marican: Sebelum NS saya tamat, saya ditawarkan menjadi anggota SAF regular. Saya tidak menerima tawaran itu dan ramai orang, terutama sekali ibu saya, berasa saya membuat keputusan yang gila.

Pada masa itu saya sudah berpangkat leftenan. Ibu saya kata "kau ingat senang nak berniaga. Bapa kau 50 tahun dia meniaga. Naik turun, naik turun. Tak ada meniaga, sakit perut. Apa yang dia tinggalkan? Rumah ini sahaja. Sudah dapat pangkat tinggi, kerja yang bagus-bagus nak buang nak niaga."

Selepas berapa bulan, kedai saya tutup. Masa itu ibu saya katakan saya degil. Tapi hati saya memang nak berniaga. Kalau hati dah suka, susah nak nasihat. Semua nasihat tak jalan.

SOALAN 2

Khasanah: Apakah perkara yang mungkin orang tidak tahu tentang diri anda?

Salleh Marican: Pada umur saya lapan tahun, saya sudah tahu cari wang sendiri. Pada masa itu, ibu saya ada memesan roti untuk dihantar ke rumah. Untuk dihantar ke rumah, kena bayar 90 sen sebulan. Saya beritahu ibu supaya kasi saya 90 sen itu, saya akan pergi beli roti itu setiap hari.

Pada masa saya berumur 12 tahun, darjah enam, sekolah saya lebih kurang dua kilometer dari rumah. Saya dapat 20 sen sehari. 10 sen untuk bas, 10 sen untuk kantin sekolah. Pergi balik sekolah saya jalan kaki, jadi saya dapat kumpulkan 10 sen sehari.

SOALAN 3

Khasanah: Senaraikan tiga perkara ‘paling Singapura’ tentang diri anda dan mengapa?

Salleh Marican: Seringkali apabila saya berada di luar negara, saya akan memegang pasport di tangan semasa saya akan melalui kastam imigresen negara asing. Ini kerana saya sedar apabila pegawai mereka melihat pasport Singapura, jarang sekali mereka akan memeriksa saya.

Pada tahun 1991, sebuah pesawat SIA dirampas oleh empat orang pengganas. Apabila saya mendengar berita bahawa keempat-empat pengganas itu sudah ditembak mati oleh komando SAF, saya rasa amat bangga dan gembira.

Seringkali saya berada di luar negara selepas tiga hingga empat hari, saya mengidam makanan Singapura seperti lontong. Tapi di luar negara susah nak dapat lontong.

Encik Salleh bersama isteri dan dua anak perempuannya. (Gambar-gambar: Salleh Marican)

Encik Salleh bersama isteri dan dua anak perempuannya. (Gambar-gambar: Salleh Marican)

SOALAN 4

Khasanah: Apakah peristiwa paling sedih yang pernah anda alami dan menitiskan air mata?

Salleh Marican: Pada sembilan tahun yang lalu, pada 10 Julai 2008, ibu saya meninggal dunia. Itulah hari yang sedih sekali untuk saya.

Pada hari itu, saya rasa kehilangan yang besar. Saya ingat balik peristiwa-peristiwa bersama ibu saya dan perkara-perkara yang saya buat yang menyedihkan ibu saya. Saya menyesal juga kenapa saya tak buat sesuatu yang boleh membuat beliau lebih gembira.

SOALAN 5

Khasanah: Ini Soalan Mikrofon Terbuka untuk anda. Luahkan sebarang perkara yang mahu anda kongsi.

Salleh Marican: Ramai yang kata, saya bernasib baik. Saya setuju. Peristiwa yang bernasib baik sekali untuk saya ialah 46 tahun yang lalu. Pada masa itu, saya bujang. Saya ada kawan baik. Tiap-tiap hari Sabtu kita keluar.

Kawan saya mengajak saya pergi pesta hari jadi sepupunya. Saya tidak mahu pergi kerana saya tidak kenal sepupu beliau.

Saya cakap sama dia 'No' empat kali. Tapi dia kata, kita pergi (saja) selepas setengah jam, kalau saya tak rasa seronok, kita balik. Jadi saya pergilah. Di sana saya jumpa satu gadis jelita yang 3 tahun kemudian menjadi jadi isteri saya. Isteri yang baik, yang amat bersabar dan memahami saya.

Beliau tinggal di Queenstown dan saya tinggal di Upper East Coast. Saya kadang-kala fikir kalau hari itu saya tak pergi, takkan saya jumpa dia. Itulah orang melayu kata, ikan di laut, asam di darat, dalam periuk bertemu jua.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan