Skip to main content

Iklan

Iklan

5 Soalan Bersama… Kumar, Pelawak Spontan No 1 Singapura!

Siapa yang tidak kenal dengan Kumar, pelawak spontan tersohor dan Nombor 1 dari Singapura yang turut terkenal di seberang tambak. Beliau juga mungkin satu-satunya pelawak yang ‘berani’ mengkritik dunia politik Singapura dan masih diberi ‘lesen’ untuk berlawak di atas pentas.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama… Kumar, Pelawak Spontan No 1 Singapura!

Pelawak Singapura, Kumar. (Gambar: Kumar)

Diterbitkan : 04 Jul 2018 01:12AM Dikemas Kini : 04 Jul 2018 01:39AM

BERITAMediacorp: Siapa yang tidak kenal dengan Kumar, pelawak spontan tersohor dan Nombor 1 dari Singapura yang turut terkenal di seberang tambak. Beliau juga mungkin satu-satunya pelawak yang ‘berani’ mengkritik dunia politik Singapura dan masih diberi ‘lesen’ untuk berlawak di atas pentas.

Lantaran itu juga, Kumar kerap dijemput ke Kuala Lumpur untuk mengadakan komedi stand-up solo beliau.

Namun, jangan mengharapkan Kumar yang beraksi di atas pentas sama seperti Kumar yang anda lihat di luar pentas! Ini kerana ‘Kumar pentas’ dan ‘Kumar luar pentas’ mempunyai persona yang berbeza rupa-rupanya. Perbezaan inilah yang mungkin membuat sesetengah pihak menyangka bahawa kononnya Kumar sombong.

“Saya bukan serius orangnya tetapi agak reserved (pendiam). Saya bukan PR person. Ada orang boleh berbual dengan sesiapa sahaja tetapi saya tidak. Apabila saya bermekap, saya akan menjadi orang lain,” katanya kepada BERITAMediacorp baru-baru ini.

Selain dari tidak memiliki kad kredit disebabkan sifatnya yang boros, beliau juga berterus-terang bahawa beliau sebenarnya tidaklah kelakar sepertimana yang digambarkan ketika beraksi di pentas. Sesuatu yang mungkin sukar dipercayai ramai orang di luar sana.

Kumar, yang tahun ini berusia 50 tahun, begitu popular juga di kalangan para peminat Melayu di sini sehingga mereka sanggup meluangkan masa untuk menonton persembahan Kumar setiap kali berpeluang berbuat demikian. Kini sudah 24 tahun Kumar menghiburkan peminat industri lawak.

Beliau yang selalunya akan memperagakan pakaian wanita dan bermekap untuk setiap persembahannya di kelab-kelab eksklusif, ternyata mampu menghiburkan peminat dari pelbagai lapisan umur dan bangsa sehingga ada juga akan datang menonton lebih dari sekali semata-mata ingin dihiburkan oleh pelawak terkenal tersebut.

Sekali lagi, Kumar yang dikatakan ‘mulut laser’ dan tidak pernah gagal membuatkan anda kering gusi dengan leluconnya yang tajam, bakal beraksi di Capitol Theatre dari 11-29 Julai untuk pertandingan antara pelawak setempat nanti, dipanggil Happy Ever Laughter – The Battle.

BERITAMediacorp: Adakah Kumar akan berkecil hati atau terkesan apabila peminat mengharapkan Kumar yang sama ketika Kumar beraksi di atas pentas dan di luar pentas?

KUMAR: Saya tidak rasa kecewa kerana orang luar tidak faham jadi mereka harapkan kami sama di atas pentas dan di luar pentas. Mereka akan lebih kecewa apabila mereka lihat kami berbeza sebenarnya di atas pentas dan di luar pentas. Saya tidak ingin memaparkan gambaran yang palsu tentang diri saya.

Selalunya mereka akan katakan bahawa saya sombong orangnya. Mereka tidak faham bahawa kami juga mempunyai kehidupan peribadi. Mereka mengharapkan kami sama sahaja (di atas pentas dan di luar pentas). (Jadi apa sebabnya mereka kata Kumar sombong?) Apabila mereka kata Hi! Saya akan kata “eh abang, kakak” tetapi mereka inginkan jawapan lebih dari itu. Ada juga yang akan bertanya apa khabar? Bagaimana kehidupan Kumar? Tetapi saya tidak bolehlah. Ia seakan sudah dilatih apabila semua bertanya soalan yang sama.

BERITAMediacorp: Sebagai selebriti popular, adakah Kumar menggunakan pengangkutan awam seperti bas dan MRT?

KUMAR: Saya naik teksi sebab susah sekarang. Saya sendiri tidak tahu bas apa yang perlu diambil atau MRT mana. Bila saya tanya anak saudara mereka akan katakan line ungu. Huh? Ada ke?(ketawa).

Saya akan hanya naik teksi meskipun harus bayar lebih dari Grab. Pemandu-pemandu teksi perlukan wang untuk kehidupan mereka. Jika tidak dapat pendapatan, mereka tidak makan. Mereka berumur. Kos perubatan pula mahal sekarang. Mereka selalunya memandu waktu yang sangat lama. Kekadang, saya tidak ambil wang kembali S$1 atau S$2.

SOALAN 3:

BERITAMediacorp: Anda terkesan apabila dipanggil dengan pelbagai nama yang kurang elok berdasarkan pakaian atau penampilan anda meskipun tidak bekerja di pentas?

KUMAR: Sebenarnya, sudah tidak lagi. Baru-baru ini ada sekumpulan lelaki yang mengacau saya. Mereka berjalan kepada saya dengan gaya keperempuanan (girly). Saya mengatakan kepada mereka adakah ia membuat kalian semua rasa bahagia berbuat demikian kepada kelemahan seseorang?

Apabila anak kalian besar nanti dan menjadi seperti kami nanti bagaimana? Saya tidak memarahi mereka tetapi saya membuat mereka berfikir akan kesan-kesannya.

BERITAMediacorp: Kumar sering mengatakan dalam persembahannya konon dia sahaja yang diizinkan untuk mengkritik dasar-dasar pemerintah Singapura. Adakah ini benar? Anda tidak takut berkata demikian?

KUMAR: Berguraulah (ketawa). Saya tidak takut sebab saya tidak mempunyai agenda politik. Saya hanya bercakap mengenai dasar-dasar yang orang lain pun bercakap mengenainya yang membuat mereka marah.

SOALAN 5:

BERITAMediacorp: Kumar cukup dikenali di kalangan peminat pelbagai bangsa termasuk golongan Melayu di Singapura dan Malaysia yang menyaksikan persembahan Kumar. Apakah yang sering mereka katakan pada Kumar apabila peminat Melayu berjumpa Kumar?

KUMAR: Mereka katakan komedi saya telah mengubah hidup mereka apabila mereka sedang lalui titik-titik terendah dalam kehidupan mereka. Selalunya mereka sedang melalui perceraian di mana kawan-kawan mereka ingin mereka datang menonton komedi saya. Jadi mereka akan ketawa selama satu jam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan