Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

5 Soalan Bersama...Khatijah Ibrahim

Khatijah Ibrahim tinggi lampai orangnya. Lebih tepat lagi 175 sentimeter! Ketinggiannya itulah juga menjadi penjalin persahabatan antara beliau dengan salah seorang peminatnya.

Anggaran Waktu Membaca:
5 Soalan Bersama...Khatijah Ibrahim

Khaty Ibrahim. (Gambar: BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Khatijah Ibrahim tinggi lampai orangnya. Lebih tepat lagi 175 sentimeter! Ketinggiannya itulah juga menjadi penjalin persahabatan antara beliau dengan salah seorang peminatnya.

Khatijah atau lebih dikenali sebagai Khaty Ibrahim adalah seorang yang berbakat besar bukan sahaja dalam bidang nanyian tetapi juga rekaan hiasan dalaman dan memasak.

Ada satu cerita sedih berkenaan kematian ibunya yang beliau kongsikan dengan BERITAmediacorp. Ayuh, dengarkan sembang-sembang wartawan Nurulkhasanah Agost dengan penyanyi veteran yang mesra dipanggil 'Ibu' ini, dalam segmen 5 Soalan Bersama... Khaty Ibrahim.

Khaty Ibrahim. (Gambar: Khatijah Ibrahim)

SOALAN 1

KHASANAH: Sekiranya anda tidak menjadi seorang penyanyi, apa agaknya pekerjaan anda sekarang? Mengapa?

KHATY IBRAHIM: Kalau saya bukan seorang penyanyi hari ini, saya barangkali (seorang) cef dan juga pereka hiasan dalaman. Itu memang minat saya dari kecil. Itu yang memang selalu saya minat. Buat kek, masak, buat taman, (buat) rekaan dalaman rumah. Buat macam-macamlah hiasan dalaman.

Oleh kerana minat itu daripada kecil, saya bawa benda itu ke tengah untuk menjadikannya satu perniagaan saya, (perniagaan) keluarga saya. Saya juga (ada) perniagaan hiasan dalaman dan juga restoran.

SOALAN 2

KHASANAH: Apa perkara yang pernah anda lakukan, yang anda kesali sehingga sekarang? Apa pengajaran yang dipelajari daripadanya?

KHATY IBRAHIM: Tiada apa yang saya buat, yang dikesali. Tidak. Barangkali masa kita muda-muda kita mempunyai satu perangai yang kadang-kadang kita tidak ada satu kesabaran. Tidak ada kesabaran, memandangkan kita buat spontan, kita tak fikir. Jadi bila saya fikirkan kembali. Saya tidak mahu ia berlaku pada diri saya.

Sekarang, (jika) terdapat sesuatu yang saya tak suka, saya suarakannya. Tapi habis situ, habis situ sajalah. Maknanya tidak ada saya simpan, nak gaduh, iri hati dan sebagainya. Tiada perkataan benci itu dalam saya punya perbendaharaan kata.

Khaty Ibrahim. (Gambar: Khatijah Ibrahim)

SOALAN 3

KHASANAH: Apakah soalan paling pelik/paling kelakar yang pernah ditanya kepada anda?

KHATY IBRAHIM: Waktu itu saya berjumpa dengan seorang peminat di Kota Bahru. Dia macam kagumlah tengok ketinggian saya, dia nak tahu saya ini berapa ketinggiannya. Jadi dia tanya dalam Bahasa Inggeris. Selalunya kita akan tanya seseorang tu ‘What is your height?’ kan? Tetapi dia bertanya saya ‘What is your tall?’ Itu yang macam nak terguling. Kelakar! (ketawa)

Benda itu datang spontan. Lepas itu saya dah ketawa, saya rasa macam tak baik, ‘Ya Allah saya ketawakan dia’. Bukan ketawa pasal dia tak reti cakap orang putih ke apa tapi barangkali perkataan itu yang nak disebut bendanya, benda lain yang terkeluar. Insiden itu dah lama, 40 tahun lalu. Reaksi dia, sampai dia minta maaf pada saya. ‘Minta maaf ya bahasa Inggeris saya tidak begitu baik’. Tapi yang paling ‘best’, sampai sekarang kita berkawan. Saya selalu bergurau dengan dia pasal benda yang sama.

Khaty Ibrahim. (Gambar: Khatijah Ibrahim)

SOALAN 4

KHASANAH: Anda seorang pelajar yang bagaimana dahulu? Apakah mata pelajaran yang paling tidak anda gemari?

KHATY IBRAHIM: Saya yang paling suka waktu itu ialah Bahasa Inggeris. Saya tak pandai dalam bidang seni. Saya seorang pelari pecut. Saya selalu keluar main badminton, lari untuk negeri, main badminton, bola jaring dan sebagainya. Sampai kadang-kadang bapa saya tanya, ‘you ada masa nak belajar ke?’ Saya kata adalah. Kita ada rakan-rakan yang selalu membantu kita, macam benda yang kita tak tau.

Satu perkara tentang diri saya, jika saya mahukan sesuatu yang rasa bagus, pasti saya akan belajar. Macam mana nak masak, tak reti buat kuih Melayu, sampai mati saya belajar sampai dapat kerana anda (harus) cuba. Sama seperti menyanyi, anda harus terus melakukannya. Memasak (juga) begitu. Kena berlatih, berlatih dan berlatih sampai ‘perfect’. Macam itulah juga memasak.

Khaty Ibrahim. (Gambar: Khatijah Ibrahim)

SOALAN 5

KHASANAH: Anda sudah mengadakan banyak persembahan di sana sini. Ada tak satu-satu persembahan sepanjang kerjaya anda, di mana anda berasa gementar sebelum membuat persembahan? Mengapa?

KHATY IBRAHIM: Waktu tu bulan Mac 1979 kalau tak silap saya. Masa saya nak keluar (buat konsert), saya dapat berita yang mak saya sakit. Bila dapat berita yang arwah mak sakit, saya kata pada penganjur, saya tak mahu buat konsert ini. Bila saya pergi berjumpa mak, arwah mak cakap, pergi. ‘Ini tugas awak. Awak mesti pergi’. Sebelum keluar, masa nak menyanyi lagu, baju saya talinya putus. Tanda-tandanya semua dah ada. Konsert itu satu pukul 6.00 petang, satu lagi pukul 9.00 malam. Jadi saya telefon tanya keadaan mak, mereka kata OK.

Selepas konsert yang kedua, hati rasa tak selesa. Selalu kita buat konsert kita dah bersedia. Yang konsert kedua itu lepas saja menyanyi saya baru (ingat) nak berehat, pengurus saya kata mak saya meninggal dunia. Bayangkanlah. Macam seluruh dunia ini runtuh! Saya kata kalau saya boleh lari daripada stadium itu balik rumah, saya dah lari pergi tengok mak saya. Tapi nasib baik pukul 6.00 itu saya (ada) balik sekejap. 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan