Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zakir Naik minta maaf guris perasaan masyarakat bukan Islam

Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, memohon maaf susuli ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam.

Anggaran Waktu Membaca:
Zakir Naik minta maaf guris perasaan masyarakat bukan Islam

Pendakwah Dr Zakir Naik. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 20 Aug 2019 10:04AM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 10:07AM

KUALA LUMPUR: Pendakwah kontroversi, Dr Zakir Naik, memohon maaf susuli ucapannya yang mengguris hati masyarakat bukan Islam.

Menurut Malaysiakini, Dr Zakir berkata beliau tidak bersifat perkauman dan kenyataannya sebelum ini “digunakan dengan rekaan yang ditambahkan padanya”.

“Saya selalu mendukung keamanan kerana itulah pendirian Quran.

“Misi saya menyebarkan keamanan ke pelusuk dunia. Malangnya, saya turut berdepan pengkritik yang cuba menghalang misi saya,” ujar beliau seperti ditukil Malaysiakini. Dr Zakir sekali lagi mengulangi kenyataannya sudahpun dipetik di luar konteks sehingga dituduh menyebabkan masalah kaum di Malaysia.

Pada Isnin (19 Ogos), Dr Zakir disoal siasat lebih 10 jam di Bukit Aman, Kuala Lumpur, sehingga melepasi jam 12 tengah malam. Ia berikutan kenyataan kontroversi yang dilontarkannya dalam satu acara di Kelantan awal bulan ini.

Beliau dikatakan membuat kenyataan terhadap masyarakat Hindu dan Cina di Malaysia semasa berceramah di Kota Bharu pada 3 Ogos lalu dan perkara tersebut mencetuskan desakan supaya beliau dihantar pulang ke negara asalnya, India.

Dr Zakir turut meluahkan rasa hampa dengan apa yang berlaku sehingga menyebabkan orang bukan Islam menganggapnya bersifat perkauman, lapor Malaysiakini.

“Rasisme adalah kejahatan yang saya tolak dengan keras kerana dalam Quran, ia bertentangan dengan semua pendirian sebagai pendakwah Islam,” tegas beliau.

Dalam ceramah di Kelantan, Dr Zakir mencadangkan pihak sebagai “tetamu baru” diusir patut meminta “tetamu lama” seperti orang Cina berbuat demikian dahulu.

Beliau juga berkata penganut Hindu di Malaysia lebih menyokong perdana menteri India berbanding perdana menteri Malaysia.

Selepas menerima kritikan, beliau berkata kenyataan tersebut dipetik di luar konteks.

Dr Zakir bagaimanapun berkata beliau memohon maaf jika kenyataannya itu mengguris perasaaan mana-mana pihak ekoran “salah faham” yang terbit.
“Saya rasa saya perlu mohon maaf kepada semua pihak yang terguris kerana salah faham ini,” katanya sambil menjelaskan tiada niat berbuat demikian.

Beliau juga merayu masyarakat, terutamanya bukan Islam, untuk mendengar ucapan penuhnya.
“Ceramah saya ada di YouTube, Peace TV dan aplikasi Peace TV,” katanya.

Selain itu, Dr Zakir juga merakamkan penghargaan kepada para penyokong yang setia mendukungnya meskipun terpalit kontroversi.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan