Zahidi anggota ke-4 Kabinet M'sia disahkan COVID-19 dalam kurang seminggu
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Zahidi Zainul Abidin disahkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi ini (13 Jan).
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Zahidi Zainul Abidin disahkan positif COVID-19 setelah menerima keputusan ujian saringan awal pagi ini (13 Jan).
Perkara itu dimaklumkan oleh pejabat timbalan menteri itu dalam satu kenyataan yang menyatakan Encik Zahidi menjalani ujian saringan COVID-19 sejurus tiba di Kuala Lumpur dari Pulau Pinang pada Isnin lepas (11 Jan).
Encik Zahidi dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menjalani rawatan lanjut mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
"Zahidi kini berada dalam keadaan yang stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul. Beliau juga berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan pejabatnya, Encik Zahidi menjalani ujian saringan COVID-19 pada 25 Disember lepas yang keputusannya adalah negatif.
Encik Zahidi adalah anggota keempat Kabinet Malaysia yang dilaporkan positif COVID-19 dalam masa kurang seminggu.
Semalam, Menteri Dalam Negeri mengumumkan menterinya Hamzah Zainudin disahkan dijangkiti COVID-19 selepas menjalani ujian saringan.
Pada 9 Januari, Menteri di Pejabat Perdana Menteri bagi Jabatan Ekonomi, Mustapa Mohamed diuji positif COVID-19, diikuti oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia Rina Mohd Harun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.