Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

YouTube gantung akaun Trump, padam video kerana 'potensi keganasan'

Satu lagi wadah digital utama menyekat suara Encik Trump, kerana kebimbangan beliau akan cetuskan keganasan, selepas serbuan di bangunan Capitol yang membawa maut.

Anggaran Waktu Membaca:
YouTube gantung akaun Trump, padam video kerana 'potensi keganasan'

Logo YouTube. (Gambar: Dado Ruvic/REUTERS)

Diterbitkan : 13 Jan 2021 04:44PM Dikemas Kini : 13 Jan 2021 04:49PM

WASHINGTON: Anak syarikat Alphabet, YouTube, mengumumkan pada Selasa (12 Jan) bahawa pihaknya menggantung saluran YouTube Donald Trump kerana melanggar dasar dengan menghasut keganasan setelah serangan ke atas bangunan Capitol minggu lalu oleh para penyokong presiden itu.

Wadah-wadah online dan syarikat-syarikat media sosial kini menjauhkan diri dari, dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggalakkan atau terlibat dalam keganasan di Washington, DC itu.

"Memandangkan kebimbangan tentang potensi keganasan sekarang, kami memadamkan kandungan baru yang dimuat naik ke saluran Donald J. Trump kerana melanggar dasar kami," menurut YouTube dalam satu kenyataan.

Saluran itu sekarang dilarang memuat naik video baru atau adakan penstriman siaran langsung selama sekurang-kurangnya tujuh hari. Tempoh tersebut boleh dilanjutkan lagi, tambah YouTube.

YouTube menyifatkan tindakannya sebagai "amaran" pertama. Sejajar dengan dasarnya, sesuatu saluran akan diharamkan selama-lamanya jika menerima tiga amaran.

Facebook minggu lalu menggantung akaun Facebook dan Instagram Encik Trump berikutan rusuhan itu, yang menyebabkan lima orang mati.

Twitter mengambil langkah lebih tegas dengan menghapuskan akaun Encik Trump, sekali gus merampas platform kegemarannya. Encik Trump juga dikenakan langkah penggantungan oleh Snapchat dan Twitch.

Pada 6 Januari, ratusan penyokong Presiden Donald Trump menyerbu bangunan Capitol semasa Kongres sedang bersidang untuk mengesahkan kemenangan calon Presiden Joe Biden. Mereka bertempur dengan polis dan menyebabkan para penggubal undang-undang lari menyelamatkan diri.

Encik Trump, yang sebelum ini mencabar kesahihan kemenangan Encik Biden tanpa mengemukakan bukti, pada mulanya memuji penyokongnya tetapi kemudian mengecam keganasan tersebut.

Pada Selasa, Encik Trump menolak sebarang tanggungjawab ke atas serbuan Capitol itu dan berkata bahawa ucapannya sebelum serbuan itu - di mana beliau menggesa para penyokong untuk berarak ke bangunan itu dan berjuang - adalah wajar.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan