Images
  • suga
    Encik Yoshihide Suga. (Gambar: REUTERS/Issei Kato)

Yoshihide Suga pilihan LDP ganti Shinzo Abe sebagai PM Jepun

TOKYO: Parti yang memerintah Jepun pada Isnin (14 Sep) memilih ketua setiausaha kabinet Yoshihide Suga sebagai pemimpin baru parti tersebut, sekali gus mencerahkan peluang Encik Suga untuk menggantikan Shinzo Abe sebagai perdana menteri negara itu.

Encik Suga menang besar dengan memperolehi 377 daripada keseluruhan 534 undi sah daripada para anggota parlimen Parti Demokratik Liberal (LDP)dan wakil wilayah.

Pesaingnya, mantan menteri pertahanan Shigeru Ishiba dan ketua dasar LDP Fumio Kishida, jauh ketinggalan.

Memandangkan LDP menguasai sebahagian besar dewan perundangan, Encik Suga dijangka akan menang besar dalam undian parlimen pada Rabu dan menjadi perdana menteri, mengambil alih Encik Abe, yang meletak jawatan atas sebab kesihatan.

Seorang penasihat dan jurucakap pemerintah yang berpengaruh, Encik Suga, 71 tahun, dilihat ramai sebagai tokoh yang berupaya memantapkan dan menyambung semula dasar-dasar yang dilaksanakan Encik Abe.

Beliau malah secara khusus pernah berkata bahawa pencalonannya didorong oleh tekadnya untuk meneruskan program-program Encik Abe.

Encik Ishiba, yang popular dalam kalangan penduduk Jepun tetapi kurang disokong dalam partinya sendiri, hanya memperolehi 68 undi, dengan Encik Kishida, yang pernah dianggap sebagai pengganti Encik Abe, meraih 89 undi.

Encik Abe, yang memecahkan rekod sebagai perdana menteri paling lama berkhidmat di Jepun sebelum terpaksa meletak jawatan selepas menghidap semula kolitis ulseratif, bagaimanapun enggan menyokong mana-mana calon secara terbuka.

Anak seorang petani strawberi, Encik Suga dibesarkan di wilayah Akita yang terletak di utara Jepun, dan isu-isu kawasan luar bandar yang mengalami masalah kekurangan penduduk dikatakan menjadi keprihatinan utamanya.

Namun tidak banyak yang diketahui tentang ideologi peribadinya, dan beliau secara umumnya disifatkan sebagai tidak menyokong sayap ekstrem mahupun yang berpendirian agresif dalam LDP.

Sebagai perdana menteri, beliau akan menghadapi pelbagai cabaran hebat, termasuk membendung virus korona dan memulihkan ekonomi ketiga terbesar di dunia, yang sudahpun mengalami kemelesetan sebelum pandemik melanda.

- AFP/TQ/tq

Top