Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wisma Putra sahkan 47 tahanan M'sia di Kemboja dibebaskan

Wisma Putra mengesahkan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey dibebaskan pada jam 6.30 petang waktu Kemboja pada Jumaat (15 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Wisma Putra sahkan 47 tahanan M'sia di Kemboja dibebaskan

Kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey dibebaskan. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 16 Feb 2019 10:00AM Dikemas Kini : 16 Feb 2019 10:09AM

KUALA LUMPUR: Wisma Putra mengesahkan kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di penjara wilayah Banteay Meanchey dibebaskan pada jam 6.30 petang waktu Kemboja pada Jumaat (15 Feb).

Wisma Putra bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak dan pihak berkuasa Kemboja untuk mengatur perjalanan pulang kesemua tahanan dengan segera.

Kerajaan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Kemboja Hun Sen dan Timbalan Perdana Menteri Kemboja yang juga Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Prak Sokhonn di atas perhatian peribadi yang diberikan terhadap perkara itu, menurut Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan semalam (15 Feb).

“Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada Menteri Kanan (Misi Khas), Menteri Dalam Negeri, Menteri Kehakiman dan semua pihak berkuasa Kemboja yang sudah menghulurkan kerjasama bagi pembebasan 47 warga Malaysia.

“Kementerian juga menghargai kerjasama erat yang diberikan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien dan kerajaan negeri Sarawak, yang sudah membawa kepada pembebasan awal rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Menyusuli insiden itu, kementerian Malaysia mengingatkan semua rakyat Malaysia supaya berhati-hati terhadap peluang pekerjaan yang ditawarkan di negara asing dan sentiasa mengesahkan dengan bakal majikan.

“Rakyat Malaysia harus sentiasa waspada serta mematuhi undang-undang dan peraturan negara asing yang mereka lawati,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Bernama melaporkan kesemua 47 tahanan rakyat Malaysia itu dibebaskan semalam selepas beberapa rundingan diadakan antara pegawai kedua-dua negara.

Perdana Menteri Kemboja Hun Sen meluluskan pembebasan itu setelah mendapati mereka ditipu sindiket agensi pekerjaan.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan