Images
  • Australia Covid
    Penduduk ibu kota Melbourne menantikan keputusan sama ada langkah sekatan segera yang dilanjutkan sebelum ini akan ditarik balik. (Gambar: William WEST/AFP)

Wilayah Victoria Australia lapor kenaikan terbesar jumlah kes COVID-19 dalam seminggu

SYDNEY: Wilayah Victoria, Australia pada Isnin (7 Jun) melaporkan peningkatan terbesar kes baru COVID-19 dalam masa seminggu sedang pihak berkuasa berusaha untuk mengesan sumber varian Delta yang lebih mudah berjangkit dalam kalangan jangkitan tempatan.

Pihak berkuasa melaporkan 11 kes baru, naik daripada hanya dua pada sehari sebelumnya, namun menarik perhatian bahawa kesemua kes itu berkaitan dengan kelompok yang ada sekarang.

Ini sedang penduduk ibu kota Melbourne menantikan keputusan sama ada langkah sekatan segera yang dilanjutkan sebelum ini akan ditarik balik pada Khamis malam seperti yang dijadualkan.

"Semua pilihan akan dipertimbangkan," kata Ketua Pegawai Kesihatan wilayah Victoria, Brett Sutton kepada wartawan di Melbourne apabila ditanya sama ada beberapa kawasan di bandar itu akan terus dikenakan sekatan.

Sekatan pergerakan yang ketat di Melbourne kini memasuki hari ke-11 selepas pihak berkuasa Victoria mengesan varian virus berjangkit buat pertama kalinya dalam penularan baru di wilayah itu.

Sumber jangkitan varian Delta itu masih belum dikenal pasti dan setakat ini belum ada padanan genom dengan kes lain di Australia.

Kes terbaru itu menjadikan jumlah jangkitan tempatan dalam penularan terbaru di wilayah kedua paling ramai penduduk di di Australia, kepada 83.

Data yang dikeluarkan pada Isnin itu termasuk dua kes yang dilaporkan sehingga tengah malam Ahad manakala semua kes jangkitan tempatan hari ini mempunyai kaitan dengan kelompok yang sedia ada.

Lapan individu merupakan kontak rapat yang diasingkan semasa tempoh berjangkit.

Varian Delta disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)sebagai antara empat varian COVID-19 yang membimbangkan selepas bukti-bukti menunjukkan ia lebih mudah merebak dan mungkin punca di sebalik penularan dahsyat yang terbaru di India.

Australia pada umumnya berjaya mengawal penularan koronavirus kerana cepat melaksanakan perintah berkurung, sekatan pergerakan di sempadan, serta peraturan jarak sosial yang ketat.

Jumlah jangkitan COVID-19 di Australia agak rendah dengan lebih 30,150 kes dan 910 kematian dicatatkan setakat ini. 

- Agensi berita/TQ/ih

Top