Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO tidak mahu perbesarkan bahaya penularan COVID-19 melalui bungkusan makanan

Dua bandar di China menemui kesan virus COVID-19 pada kargo makanan beku yang diimport, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis (13 Ogos), namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mahu membesar-besarkan risiko virus itu merebak melalui rantaian makanan.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO tidak mahu perbesarkan bahaya penularan COVID-19 melalui bungkusan makanan

Pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Geneva, Switzerland. (Gambar: Denis Balibouse/REUTERS)

Diterbitkan : 14 Aug 2020 08:45AM Dikemas Kini : 14 Aug 2020 08:49AM

GENEVA: Dua bandar di China menemui kesan virus COVID-19 pada kargo makanan beku yang diimport, menurut pihak berkuasa tempatan pada Khamis (13 Ogos), namun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mahu membesar-besarkan risiko virus itu merebak melalui rantaian makanan.

Sampel yang diambil daripada permukaan kepak ayam beku yang dibawa masuk ke bandar Shenzhen dari Brazil, serta sampel pada luar bungkusan udang beku dari Ecuador yang dijual di bandar Xian, diuji positif virus tersebut, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pihak berkuasa Shenzhen mengenal pasti ayam itu sebagai produk import yang datang daripada kilang yang dimiliki oleh Aurora, pengeksport daging ayam itik dan babi ketiga terbesar di Brazil.

Sedang kes-kes COVID-19 terus meningkat di merata dunia, penemuan ini menimbulkan satu lagi keprihatinan bahawa virus korona yang menyebabkan penyakit itu boleh merebak melalui permukaan dan menular dalam rantaian makanan. Sehari sebelum itu, para pegawai mula menyiasat sama ada kes pertama COVID-19 di New Zealand dalam masa lebih tiga bulan merebak menerusi barangan import.

Virus-virus dapat bertahan sehingga dua tahun pada suhu 20 darjah Selsius di bawah sifar, namun para saintis dan pegawai berkata tiada bukti kukuh sejauh ini yang menunjukkan bahawa virus korona itu dapat menular menerusi makanan beku.

"Orang ramai tidak seharusnya bimbang pada makanan, bungkusan makanan atau penghantaran makanan," kata ketua program kecemasan WHO, Mike Ryan, dalam satu taklimat media.

"Tiada bukti bahawa makanan atau rantaian makanan terkait dengan penularan virus ini. Dan orang ramai seharusnya berasa selesa dan selamat."

Pakar epidemiologi WHO Maria Van Kerkhove berkata bahawa China sudah menguji beratus-ratus ribu bungkusan dan "mendapati sangat sedikit, kurang daripada 10" diuji positif virus tersebut.

Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat serta Jabatan Pertanian menyatakan dalam satu kenyataan bersama bahawa "tiada bukti manusia boleh dijangkiti COVID-19 melalui makanan atau daripada bungkusan makanan."

Syarikat Aurora di Brazil, yang tidak disenaraikan di bursa saham negara itu, menyatakan pihaknya belum diberitahu secara rasmi oleh pihak berkuasa China mengenai dakwaan pencemaran tersebut. Syarikat itu menyatakan ia sudah melaksanakan semua langkah sewajarnya untuk mencegah penyebaran virus korona dan tiada bukti ia merebak melalui makanan. Kementerian Pertanian Brazil menyatakan pihaknya sedang meminta penjelasan daripada pihak berkuasa China.

Reuters tidak dapat menghubungi kedutaan Ecuador di Beijing untuk mendapatkan komennya.

Penguasa kesihatan Shenzhen mengesan dan menguji semua orang yang mungkin sudah menyentuh produk makanan yang berpotensi tercemar itu, dan semua hasil ujian negatif, menurut notis bandar itu.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan