Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO sokong rawatan antibodi bagi pesakit COVID-19 berisiko tinggi

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (24 Sep) mengesyorkan penggunaan rawatan antibodi sintetik Regeneron untuk COVID-19, namun hanya bagi pesakit dengan profil kesihatan tertentu.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO sokong rawatan antibodi bagi pesakit COVID-19 berisiko tinggi

Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 12:47PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 12:51PM

PARIS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (24 Sep) mengesyorkan penggunaan rawatan antibodi sintetik Regeneron untuk COVID-19, namun hanya bagi pesakit dengan profil kesihatan tertentu.

Individu dengan COVID-19 yang tidak serius namun tetap mempunyai risiko tinggi dimasukkan ke hospital, boleh mengambil campuran antibodi itu. Begitu juga bagi pesakit yang terkena jangkitan sakit teruk dan tidak dapat memberi tindak balas imun yang mencukupi terhadap virus berkenaan, menurut hasil dapatan WHO yang diterbitkan dalam BMJ.

Regeneron adalah rawatan ketiga yang disyorkan oleh pihak berkuasa kesihatan global tersebut, untuk pesakit COVID-19 yang ditambahkan ke dalam "garis panduan WHO" berkenaan ubat-ubatan bagi COVID-19.

Pada Julai, WHO meluluskan penggunaan ubat-ubatan khusus yang bertindak untuk menyekat tindak balas berlebihan sistem imun yang berbahaya terhadap virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan COVID-19.

Ubat-ubatan itu berfungsi dengan baik apabila diambil bersama kortikosteroid, yang pertama kali disarankan WHO untuk digunakan ke atas pesakit COVID-19 pada September 2020.

Gabungan antibodi sintetik Regeneron - terdiri daripada casirivimab dan imdevimab - didapati dapat mengurangkan risiko kemasukan ke hospital bagi pesakit yang tidak divaksinasi, warga emas atau pesakit yang mempunyai daya imun lemah yang dijangkiti COVID-19, menurut tiga ujian klinikal yang belum dikaji semula, menurut BMJ.

Bagi pesakit kategori kedua mengikut cadangan terbaru WHO itu, satu lagi kajian menunjukkan penurunan jumlah kematian, dan kes yang memerlukan bantuan pernafasan mekanikal, dalam kalangan pesakit yang menggunakan ubat tersebut.

"Bagi semua pesakit COVID-19 yang lain, sebarang manfaat rawatan antibodi ini mungkin tidak ketara," rumus WHO.

Rawatan dihasilkan firma bioteknologi Regeneron serta dipasarkan syarikat gergasi farmaseutikal, Roche, dengan nama Ronapreve itu pernah diberi kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika beliau dijangkiti COVID-19.

Apabila digunakan bersama, antibodi monoklonal casirivimab dan imdevimab bertindak mengikat protein SARS-CoV-2, sekali gus meneutralkan kemampuan virus itu untuk menjangkiti sel.

WHO "mengalu-alukan rawatan tambahan dalam melawan COVID-19" namun menyuarakan keprihatinan berhubung kesan harga tinggi terhadap ketidaksamaan rawatan kesihatan.

Pada Julai lalu, Jepun menjadi negara pertama yang meluluskan sepenuhnya rawatan antibodi Regeneron untuk pesakit COVID-19 dengan jangkitan ringan hingga sederhana.

Gabungan antibodi itu telah diluluskan untuk penggunaan kecemasan atau sementara pandemik di beberapa negara dan wilayah, termasuk Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat, India, Switzerland dan Kanada.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan