Images
  • pertubuhan kesihatan sedunia
    Papan tanda Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). (Gambar: AFP)

WHO saran suntikan tambahan vaksin COVID-19 bagi individu daya imun terganggu

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Isnin (11 Okt) mengesyorkan agar orang yang mengalami masalah imun diberikan dos tambahan vaksin COVID-19, kerana mereka berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti selepas imunisasi standard.

Kumpulan Pakar Penasihat Strategik berhubung imunisasi menyatakan dos tambahan harus ditawarkan "sebagai sebahagian daripada siri asas yang dilanjutkan kerana individu-individu ini cenderung kurang memberi tindak balas yang mencukupi terhadap vaksinasi berikutan siri vaksin asas standard dan berisiko tinggi mendapat sakit COVID-19 yang teruk".

Pengarah vaksin WHO, Kate O'Brien, merujuk kepada mereka yang mempunyai daya tahan yang lebih rendah disebabkan keadaan kesihatan lain, memberitahu taklimat berita: "Saranan itu adalah bagi suntikan dos ketiga, iaitu vaksinasi tambahan dalam siri perlindungan asas dan sekali lagi, ia adalah berdasarkan bukti yang menunjukkan keimunogenan dan ia turut membuktikan jangkitan-jangkitan baru sangat tidak seimbang dengan jumlah kes baru yang dicatatkan."

Panel itu juga mengesyorkan agar orang berusia lebih 60 tahun menerima dos tambahan suntikan yang dibuat oleh pembuat vaksin China, Sinopharm dan Sinovac kira-kira satu hingga tiga bulan setelah melengkapi dua dos pertama mereka. Panel itu memetik bukti dalam kajian di Amerika Latin bahawa vaksin-vaksin itu kurang berkesan selepas beberapa waktu.

Data pemerhatian ke atas vaksin Sinopharm dan Sinovac "menunjukkan dengan jelas bahawa dalam golongan usia yang lebih tua...vaksin berfungsi kurang baik selepas dua dos", kata Joachim Hombach, setiausaha panel pakar bebas yang mengadakan rundingan tertutup selama lima hari minggu lalu.

Pada masa ini sekitar 3.5 bilion dos vaksin COVID-19 sudah diberikan, kata Cik O'Brien.

Dianggarkan 1.5 bilion dos disediakan di seluruh dunia setiap bulan, cukup untuk memenuhi sasaran vaksinasi 40 peratus penduduk setiap negara menjelang hujung tahun, namun pengedarannya tidak setara, tambahnya.

"Memberi dos perangsang tersebut kepada individu yang sudahpun mendapat manfaat daripada tindak balas utama adalah seperti meletakkan dua jaket keselamatan pada seseorang dan membiarkan orang lain tanpa jaket keselamatan," kata Cik O'Brien.

"Dalam hal ini, kami sedang bercakap tentang memberikan jaket kehidupan pertama kepada orang yang mempunyai keadaan imun yang terjejas."

- Reuters/TQ/tq

Top