Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Washington sahkan kes pertama virus Wuhan di AS

Amerika Syarikat pada Selasa (21 Jan) mengumumkan kes pertama virus yang sudah meragut enam nyawa di China dan dijangkiti beratus-ratus yang lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Washington sahkan kes pertama virus Wuhan di AS

Penularan berlaku di bandar Wuhan. (Gambar: AFP/Noel Celis)

Diterbitkan : 22 Jan 2020 08:47AM Dikemas Kini : 07 Feb 2020 04:52PM

WASHINGTON: Amerika Syarikat pada Selasa (21 Jan) mengumumkan kes pertama virus yang sudah meragut enam nyawa di China dan dijangkiti beratus-ratus yang lain, menjadikan negara itu yang terkini dalam kalangan negara-negara yang sudah dijangkiti untuk mengetatkan lagi langkah-langkah bagi mencegah penularan virus tersebut.

Pesakit tersebut, seorang lelaki rakyat Amerika Syarikat berusia 30-an tahun yang tinggal dekat Seattle, berada dalam keadaan baik, menurut para pegawai persekutuan dan wilayah. Lelaki itu dengan sendirinya melaporkan kepada pihak berkuasa setelah mendapat tahu mengenai virus seperti SARS itu melalui laporan media.

Beliau kini "dimasukkan ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan untuk dipantau bagi tempoh jangka pendek, bukan kerana sakit tenat," kata pegawai kesihatan Washington, Chris Spitters.

"Ini adalah satu situasi yang sedang menular, kami menjangkakan lebih ramai pesakit di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia," tambah Nancy Messonier, pegawai kanan di Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC). Beliau menegaskan bahawa risiko terhadap rakyat Amerika Syarikat masih rendah.

Lelaki yang berasal dari Wuhan itu pulang ke Amerika Syarikat pada 15 Januari, dua hari sebelum para pegawai kesihatan mula memeriksa penumpang yang tiba di lapangan-lapangan terbang utama dari bandar China itu yang dikaitkan dengan penularan virus tersebut. Usaha kini diperluaskan ke lima lapangan terbang Amerika Syarikat.

Perkembangan terbaru ini diumumkan selepas negara-negara di merata dunia mengetatkan usaha untuk mengekang penularan patogen tersebut - yang dikenali dengan nama teknikalnya iaitu 2019 Novel Coronavirus. Jumlah jangkitannya sudah menjangkaui 300 orang, meningkatkan keprihatinan di tengah-tengah musim percutian utama China.

Kebimbangan penularan lebih meluas mula timbul setelah seorang pakar dari Suruhanjaya Kesihatan Nasional China mengesahkan pada lewat Isnin bahawa virus itu boleh berjangkit dari manusia ke manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan mengadakan mesyuarat gempar pada hari ini untuk menentukan sama ada untuk mengisytiharkannya sebagai kecemasan kesihatan awam global berhubung penyakit itu yang kini sudah dikesan di Thailand, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan.

Virus korona itu mencetuskan rasa cemas atas persamaan genetiknya dengan Sindrom Pernafasan Akut yang Teruk (SARS) yang meragut hampir 650 nyawa di merata tanah besar China dan Hong Kong pada 2002-2003.

Sebelum ini WHO pernah mengisytiharkan keadaan darurat sedemikian, termasuk semasa pandemik H1N1 pada 2009 dan penularan virus Ebola yang melanda beberapa kawasan di Afrika Barat antara 2014 hingga 2016.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan