Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga New Zealand didenda; cuba buka pintu pesawat MAS

 Seorang pengurus restoran warga New Zealand didenda RM6,000 (S$2,019) oleh Mahkamah Majistret pada Rabu (15 Ogos) kerana cuba membuka pintu pesawat Malaysia Airlines (MAS) di udara semasa penerbangan dari New Zealand ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad lalu (12 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Warga New Zealand didenda; cuba buka pintu pesawat MAS

Gambar fail Malaysia Airlines. (Gambar: Greg Wood/ AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 04:26PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 04:29PM

SEPANG: Seorang pengurus restoran warga New Zealand didenda RM6,000 (S$2,019) oleh Mahkamah Majistret pada Rabu (15 Ogos) kerana cuba membuka pintu pesawat Malaysia Airlines (MAS) di udara semasa penerbangan dari New Zealand ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Ahad lalu (12 Ogos).

Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menjatuhkan hukuman itu ke atas Cranwell Frazer Harry, 32 tahun, dari Auckland, New Zealand, dengan tertuduh, yang memakai baju penjara berwarna jingga, mengangguk faham dan mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Agensi berita Sinar Harian difahamkan bahawa mahkamah turut memerintahkan lelaki itu dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Mohamad Izwan memberi amaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya, yang merupakan satu kesalahan serius, kerana boleh membahayakan nyawa penumpang dan anak kapal.

Cranwell, yang berdiri di kandang tertuduh kelihatan resah, kerap kali mengeluh dan menjawab, “I promise sir...” sambil menitiskan air matanya.

Menurut Sinar Harian, dia didakwa membahayakan keselamatan pesawat dan orang yang berada di dalam pesawat berkenaan kerana cuba membuka pintu kecemasan semasa dalam penerbangan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 97 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 dan boleh dihukum di bawah Peraturan 206 (3)(a) Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,830) atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, ketika penerbangan dari New Zealand ke Vietnam dan transit di KLIA, seorang pramugari yang bertugas nampak tertuduh memegang pemegang pintu kecemasan pesawat dan cuba membuka pintu tersebut.

Tertuduh dipercayai berada dalam keadaan mabuk kerana minum minuman keras - lima tin bir dan segelas gin dan tonik - semasa dalam penerbangan tersebut.

Pramugari itu kemudian memindahkan tertuduh ke tempat duduk lain dan memaklumkan kejadian tersebut kepada ketua pramugari dan kapten bertugas sebelum tertuduh ditahan polis.

Sinar Harian melaporkan bahawa siasatan lanjut polis mendapati tertuduh dalam keadaan mabuk dan tidak sedar ketika melakukan perbuatan tersebut.

Ketika membuat rayuan, peguam Zaflee Pakwanteh yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa tertuduh, yang ketika kejadian dalam perjalanan ke Vietnam untuk bercuti bersama rakannya, memohon maaf dan menyesali atas perbuatannya serta merayu hanya dikenakan denda minimum.

Encik Zaflee berkata, pengalaman tertuduh ditahan selama dua hari benar-benar memberi pengajaran buat tertuduh untuk tidak mengulangi perbuatan sama.

Timbalan Pendakwa Raya, Aziatul Afrizan Alias, memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira ketakutan dan trauma yang dialami anak kapal, yang melihat tertuduh cuba membuka pintu pesawat ketika di udara. 

Sumber : Agensi berita/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan