Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Warga M'sia bekerja di S'pura sambut baik pengaturan perjalanan mulai 10 Ogos

Warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura dan terpaksa tinggal di republik itu sejak pelaksanaan PKP pada Mac lalu, menyifatkan keputusan melaksanakan Laluan Pantas Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA) pada 10 Ogos depan, sebagai suatu penantian yang akhirnya terjawab.

Anggaran Waktu Membaca:
Warga M'sia bekerja di S'pura sambut baik pengaturan perjalanan mulai 10 Ogos

(Gambar fail: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 15 Jul 2020 10:33PM Dikemas Kini : 16 Jul 2020 11:16AM

JOHOR BAHRU: Warga Malaysia yang mencari rezeki di Singapura dan terpaksa tinggal di republik itu semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu, menyifatkan keputusan melaksanakan Laluan Pantas Dua Hala (RGL) dan Aturan Perjalanan Berkala (PCA), hasil persetujuan kedua-dua negara pada 10 Ogos depan, sebagai suatu penantian yang akhirnya terjawab.

Encik Mohamed Raffi Samingun, 31, ketika dihubungi Bernama berkata, segala kesedihannya berikutan terpaksa berjauhan dengan keluarga selama empat bulan, kini hilang dengan pengumuman itu.

“Perasaan rindu ingin bertemu isteri dan keluarga berkobar-kobar, setelah sekian lama tidak bersama mereka. Malah bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri, saya sambut sendiri di sini bersama rakan-rakan,” katanya.

Beliau yang bekerja dalam sektor mekanikal di Singapura sejak tujuh tahun lepas itu bagaimanapun berharap, agar kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dengan teliti, selain kesedaran dan pematuhan daripada pihak majikan dan pekerja itu sendiri.

“Saya berharap agar semua majikan dan pekerja mematuhi SOP yang akan ditetapkan, dan mengamalkan jarakan sosial. Dalam masa sama Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerja yang ada di semua tempat kerja juga fokus terhadap prosedur bagi mencegah penularan COVID-19,” katanya.

Semalam, Menteri Luar Malaysia Hishammuddin Hussein dan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan, mengumumkan Malaysia dan Singapura bersetuju melaksanakan RGL dan PCA, dengan tarikh pelaksanaan yang disasarkan pada 10 Ogos 2020, untuk memenuhi keperluan penduduk kedua-dua negara, membabitkan perjalanan rentas sempadan.

RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan bagi urusan rasmi dan perniagaan penting antara kedua-dua negara, manakala PCA membolehkan rakyat Singapura dan Malaysia, yang memegang pas imigresen jangka panjang untuk tujuan perniagaan dan bekerja, memasuki negara itu.

Sementara itu, rakyat Malaysia yang bekerja dalam sektor kesihatan Encik Shahadan Saripan berkata, ini adalah berita baik yang ditunggu-tunggu bukan sahaja dirinya, tetapi bagi lebih 20,000 rakyat Malaysia di Singapura.

“Inilah berita baik yang lama saya tunggu-tunggu. Kepulangan saya ni boleh mengubat rindu pada keluarga, apatah lagi banyak juga urusan tertangguh di rumah,” katanya yang baru sahaja menyambut cahaya mata ketiga, tiga bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menekankan betapa pentingnya kedua-dua negara mengeluarkan SOP terbaik, memandangkan kesemua mereka akan terus berjumpa keluarga sebaik pulang ke Malaysia.

"Mungkin kalau boleh melihat semula tempoh kuarantin, yang buat masa ini terlalu panjang (14 hari) tetapi memberi syarat tertentu kepada mereka yang pulang, contohnya tidak boleh keluar dari negeri destinasi atau berjalan ke negeri lain.

"Ataupun menjalani swab test setiap dua minggu di Malaysia atau Singapura dan kalau bergejala perlu terus mendapatkan rawatan di mana-mana hospital sama ada di Malaysia atau Singapura," tambahnya lagi yang kali terakhir pulang pada April lalu semasa kelahiran bayinya.

Bagi penghantar makanan segera, Encik Farhan Aman, 33, pula, beliau yang berada di Singapura selama hampir lima bulan meluahkan kesyukuran kerana kedua-dua negara dapat mencapai persetujuan dan mencadangkan agar kerajaan Malaysia menggunakan teknologi yang mampu mengesan pekerja sekiranya memasuki kawasan yang mempunyai risiko penularan COVID-19 yang tinggi.

“Bagaimanapun saya bersyukur sangat sebab berdoa tak henti-henti kerana rindu keluarga dalam masa sama perlu bekerja di sini. Saya harap pembukaan sempadan nanti berjalan dengan lancar,” katanya.

Encik Mohamad Razzi Mohd Nor, 28 yang juga bekerja sebagai penghantar makanan pula meluahkan akan menunggu tarikh bersesuaian untuk pulang kerana perlu berhati-hati sekali gus mengelak daripada berada di kawasan yang sesak memandangkan akan ada ramai rakyat di Malaysia yang akan memasuki Singapura untuk mula bekerja apabila sempadan dibuka kelak. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan