Warga Ireland maut dibunuh; suspek tinggalkan nota
Seorang pengaturcara komputer warga Ireland ditemui maut dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah di Pulau Pinang pada Selasa (4 Mac).
GEORGE TOWN: Seorang pengaturcara komputer warga Ireland ditemui maut dalam keadaan tangan dan kakinya diikat, dipercayai dibunuh di sebuah unit kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah di Pulau Pinang pada Selasa (4 Mac).
Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Che Zaimani Che Awang, berkata mayat Brian Patrick O' Reilly, 51 tahun, ditemui oleh pihak pengurusan kondominium dalam sebuah bilik di rumah berkenaan pada sekitar 5.00 petang.
ACP Che Zaimani berkata polis menemui sekeping nota yang dipercayai ditinggalkan oleh suspek lelaki, yang mengatakan dia tidak berpuas hati dengan mangsa yang didakwa terbabit dalam sindiket penipuan dan menipu wang adik perempuannya.
Menurut ACP Che Zaimani, sepasukan pegawai polis bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh pengurusan kondominium itu dan mendapati lelaki berkenaan sudah tidak bernyawa. Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala.
Beliau berkata pemeriksaan di dalam rumah mangsa mendapati peti besi di dalam sebuah bilik diselongkar dan terdapat kesan pergelutan berlaku. ACP Che Zaimani menambah menambah mangsa tinggal bersendirian di kondominium itu dan baru sahaja membuka pejabatnya di Pulau Pinang kira-kira dua minggu lalu.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan siasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.