Images
  • kematian
    (Gambar: Agensi berita)

Warga emas maut dipukul anak hidap masalah mental

KEPALA BATAS: Seorang wanita warga emas maut dipukul anak perempuannya yang menghidap masalah mental selepas dua beranak itu bergaduh dalam kejadian di rumah mereka di Lahar Kepar pada malam tadi (22 Mei).

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata dalam kejadian pada pukul 9:30 malam itu, Loh Foh Mooi, 90, ditemukan berlumuran darah dengan kesan kecederaan di muka dan tangan di ruang tamu rumah mereka.

"Semasa kejadian itu terdapat cucu perempuan mangsa yang juga anak suspek berusia 16 tahun di rumah itu dan remaja berkenaan mendengar pertengkaran antara ibu dan neneknya itu," katanya hari ini (23 Mei).

Encik Noorzainy berkata remaja itu yang ketakutan kemudiannya menghubungi sepupunya yang tinggal di Sungai Dua untuk meminta bantuan kerana bimbang sesuatu terjadi.

"Tidak lama kemudian ibu saudara remaja itu yang juga anak bongsu warga emas berkenaan datang ke rumah tersebut dan sebaik membuka lampu dia terkejut apabila menemui ibunya dalam keadaan terbaring serta berlumuran darah," katanya.

Menurutnya, anak bongsu mangsa kemudiannya menghubungi hospital sebelum pasukan perubatan tiba dan pemeriksaan mendapati warga emas itu telah meninggal dunia serta terus memaklumkan kepada polis.

Menurutnya lagi, mayat warga emas itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk dibedah siasat manakala suspek yang berumur 53 tahun dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk pemeriksaan mental sebelum polis menahannya untuk siasatan lanjut.

- BERNAMA/HA/ha

Top