Images
  • polis malaysia crime scene
    (Gambar: BERNAMA)

Warga emas 78 tahun mati ditetak 5 suspek bertopeng, cucunya cedera parah

SHAH ALAM: Seorang wanita warga emas maut manakala cucu lelakinya cedera parah selepas ditetak lima suspek bertopeng yang bersenjatakan parang di rumahnya di Kampung Tebuk Pulai, Sabak Bernam, Shah Alam, awal pagi Isnin (12 Ogos).

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, DSP Lim Chee Khoon, berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.00 pagi itu, mangsa P.Runkanaikey, 78 tahun, mati akibat cedera parah di seluruh badan manakala cucunya, N.Silamparasan, 22 tahun, cedera parah di beberapa bahagian tubuh.

DSP Lim menambah dalam kejadian itu, cucu mangsa - yang merupakan penjual buah kelapa - menyedari kehadiran suspek tetapi belum sempat beliau mengejutkan neneknya yang sedang tidur, kesemua suspek sudahpun memecah masuk rumah berkenaan dan menetak mangsa sehingga mati.

"Ketika itu, cucunya bersembunyi di bawah katil dan apabila cuba melarikan diri, dia turut ditetak sehingga cedera parah dan kini dirawat di Hospital Sabak Bernam," terang DSP Lim.

Beliau berkata selepas kejadian itu, kesemua suspek melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna kelabu. Nombor pendaftaran kereta berkenaan bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti.

DSP Lim menambah hasil pemeriksaan pegawainya di tempat kejadian mendapati tiada wang tunai atau barang kemas dilarikan suspek bahkan, sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger juga tidak dilarikan.

"Polis sedang menyiasat motif kejadian dan usaha memburu kesemua suspek sedang dijalankan," katanya. 

- BERNAMA/FZ/fz

Top