Images
  • wan azizah
    Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Wan Azizah Wan Ismail. (Gambar: BERNAMA)

Warga asing tidak diberi kerakyatan di bawah program Malaysia Rumah Kedua Ku

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak menawarkan kewarganegaraan kepada warga asing yang membeli rumah mewah di negara itu melalui program Malaysia Rumah Kedua Ku (MM2H), kata Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail pada Jumaat (20 Sep).

Beliau menambah para pembeli akan hanya mendapat visa 10 tahun.

"Tidak ada pemberian MyKad (kad pengenalan Malaysia) atau dokumen pemastautin tetap, hanya visa 10 tahun," ujarnya sambil menambah bahawa ini akan dibincangkan di Kabinet.

Isu pemberian kewarganegaraan kepada pembeli rumah asing timbul baru-baru ini apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mencadangkan untuk memasarkan unit mewah yang tidak terjual kepada pembeli dari China dan Hong Kong di bawah program MM2H, dalam usaha untuk menghuraikan bekalan berlebihan.

Cadangannya menarik perhatian para ahli politik yang mengatakan bahawa ia akan mengakibatkan negara dimiliki oleh warga asing.

Diperkenalkan pada 2022, MM2H bertujuan memikat para warga asing supaya menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua atau rumah percutian mereka.

Dibuka kepada semua warga asing, pemohon yang berjaya akan diberikan pas lawatan sosial dengan visa keluar masuk berulang yang sah selama 10 tahun.

Menekankan bahawa kempen pemilikan rumah tidak terhad kepada orang dari China dan Hong Kong, Dr Wan Azizah berkata pada Jumaat bahawa warga asing yang berminat mesti mempunyai aset kecairan atau yang boleh ditukar ganti kepada bentuk wang tunai untuk menyumbang kepada negara.

Peraturan bagi MM2H menyatakan bahawa pemohon berusia bawah 50 tahun harus menunjukkan bukti aset bernilai sekurang-kurangnya RM500,000 (S$164,719) dan membuka akaun deposit tetap sebanyak RM300,000 (S$98,799) di Malaysia; atau aset wang tunai bernilai RM350,000 (S$115,266) dan deposit tetap sebanyak RM150,000 (S$49,399) bagi mereka yang berumur lebih 50 tahun.

Mereka dibenarkan untuk mengeluarkan sebahagian daripada deposit tetap mulai tahun kedua untuk pembelian rumah dan kereta, pendidikan bagi anak-anak di Malaysia serta rawatan perubatan.

Buat masa ini, warga asing hanya dibenarkan membeli hartanah bernilai RM1 juta (S$329,278) dan ke atas di Malaysia.

Pada Ogos tahun lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata warga asing tidak akan dibenarkan membeli unit kediaman di projek mega Forest City di Johor tetapi kemudian menjelaskan beliau memaksudkan bahawa pembelian sedemikian tidak akan menjamin para pembeli mendapat kerakyatan negara itu. 

- CNA/BERNAMA/FZ/fz

Top