Images
  • kondo msia
    PGambar fail pemandangan kawasan perumahan di Gelugor, George Town.

Warga asing kini dibenarkan miliki kondo RM600,000 ke atas di M’sia

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar daripada RM1 juta (S$327,959) kepada RM600,000 (S$196,775) pada tahun depan untuk pemilikan asing, lapor Malaysiakini.

Menteri Kewangan Malaysia Lim Guan Eng berkata langkah tersebut bagi mengurangkan lambakan kondominium dan pangsapuri tidak terjual yang dianggarkan bernilai RM8.3 bilion (S$2.7 bilion) pada suku kedua 2019. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat pada Jumaat (11 Okt).

Encik Lim berkata kerajaan juga akan mengadakan usaha sama dengan institusi kewangan untuk memperkenalkan Skim Pembiayaan Sewa untuk Memiliki (Rent To Own atau RTO).

Melalui skim itu, pembiayaan sebanyak RM10 bilion (S$3 bilion) akan disediakan oleh institusi kewangan dengan sokongan kerajaan melalui penyediaan jaminan sebanyak 30 peratus atau RM3 bilion (S$983 juta).

"Skim RTO ini adalah untuk pembelian rumah pertama bernilai sehingga RM500,000 (S$163,978).

"Di bawah skim ini, pemohon akan menyewa rumah bagi tempoh sehingga lima tahun dan selepas setahun, diberi pilihan untuk membeli rumah kediaman berkenaan pada harga yang ditetapkan semasa perjanjian penyewaan ditandatangani.

"Kerajaan juga akan memberi pengecualian duti setem sepenuhnya ke atas instrumen pindah milik di antara pemaju dengan institusi kewangan serta di antara institusi kewangan dengan bakal pembeli," jelas menteri tersebut seperti ditukil Malaysiakini.

Selain itu, bagi membantu belia untuk memiliki rumah pertama, kerajaan akan melanjutkan Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh BSN mulai 1 Januari 2020 sehingga 31 Disember 2021.

"Skim ini juga menawarkan jaminan pinjaman sebanyak 10 peratus melalui Cagamas untuk membolehkan peminjam mendapatkan pembiayaan penuh dan bantuan ansuran bulanan sebanyak RM200 (S$65) sebulan untuk dua tahun pertama terhad kepada 10 ribu unit rumah," katanya lanjut. 

- Agensi berita/FZ/fz

Top