Images
  • OLD
    Cik Kane Tanaka. (Gambar: AFP)

Wanita tertua dunia bakal bawa obor Olimpik Jepun

JEPUN: Pada usia 118 tahun, orang paling tua di dunia sedang mempersiapkan dirinya untuk membawa obor sukan Olimpik di Jepun pada bulan Julai nanti.

Kane Tanaka, yang dua kali berjaya mengatasi penyakit barah, pernah melalui dua pandemik global dan gemar minuman bergas, akan membawa obor sukan Olimpik apabila ia tiba di Shime, bandar tempat tinggalnya di wilayah Fukuoka.

Meskipun Tanaka akan melakukan perjalanan obor sejauh 100 meter itu dari kerusi roda yang ditolak anggota keluarga beliau, warga emas itu bertekad untuk berjalan sendiri beberapa tapak ke garisan, di mana beliau akan menyerahkan obor itu kepada pelari seterusnya.

Tanaka malah mahu memakai sepasang kasut 'sneakers' barunya yang dihadiahkan oleh keluarga tersayang semasa sambutan hari jadi beliau pada Januari lalu, menurut laporan CNN.

"Biarpun nenek sudah berusia 118 tahun, beliau masih boleh mengamalkan gaya hidup aktif - kami mahu orang lain melihat nenek dan mendapat inspirasi bahawa usia bukan penghalang untuk melakukan apa sahaja," kata cucunya, Eiji Tanaka, yang dalam lingkungan usia 60-an tahun, kepada CNN.

Pemegang rekod sebelum ini bagi pembawa obor tertua sukan Olimpik termasuk Aida Gemanque, 106 tahun, dari Brazil, yang menyalakan obor itu semasa Sukan Musim Panas Rio 2016.

Selain itu, pemain tenis meja Alexander Kaptarenko, 101 tahun, yang berlari dengan obor semasa Sukan Musim Sejuk Sochi 2014.

LATAR BELAKANG KANE TANAKA

Tanaka dilahirkan pada 1903 - tahun sama perintis kapal terbang Orville dan Wilbir Wright mencatat sejarah dengan menerbangkan pesawat berkuasa pertama di duna.

Tanaka mempunyai empat anak, lima cucu dan lapan cicit hasil perkahwinan dengan pemilik kedai beras semasa berusia 19 tahun. Beliau bekerja di kedai itu sehingga berusia 103, lapor CNN.

Sepanjang hayatnya, Tanaka melalui dua perang dunia dan pandemik selesema Sepanyol pada 1981, meskipun cucunya Eiji berkata: "Saya tidak pernah ingat nenek bercerita tentang masa lampau. Beliau sering memikirkan masa hadapan - Nenek benar-benar menikmati kehidupannya sekarang."

Umurnya juga hampir sama tua dengan Sukan Olimpik moden, yang bermula pada 1896.

Semasa Olimpik kali terakhir diadakan di Tokyo pada 1964, Tanaka berusia 61 tahun ketika itu.

Jika dikira edisi musim panas dan sejuk acara sukan itu, Olimpik tahun ini adalah yang ke 49 sepanjang hayat Tanaka, lapor CNN.

Tanaka sekarang tinggal di rumah jagaan warga tua, dan selalu bangun pada pukul 6.00 pagi dan gemar bermain Othello.

Keluarga Tanaka, yang sudah 18 bulan tidak dapat melawatnya disebabkan pandemik COVID-19 berkata, sikapnya yang sentiasa ingin tahu dan kerap melakukan matematik adalah rahsia membuatkan mindanya kekal tajam dan sihat.

Tanaka bukanlah satu-satunya penduduk Jepun yang mencecah usia 100 tahun dan ke atas.

Buat pertama kalinya tahun lalu, Jepun mencatat lebih 80,000 penduduk berusia 100 tahun dan ke atas, menurut Kementerian Kesihatan, Pekerjaan dan Kebajikan Jepun, menandakan kenaikan tahunan ke-50 berturut-turut.

Pada 2020, seorang daripada 1,565 orang di Jepun berusia lebih 100 tahun - lebih 80 peratus daripadanya adalah wanita.

Menurut perangkaan yang dikeluarkan kerajaan negara itu pada Julai 2020, jangka hayat wanita adalah 87.45 tahun berbanding 81.4 bagi kaum lelaki.

Pada 2019, buku rekod dunia Guinness mengiktiraf Tanaka sebagai individu paling tua di dunia yang masih hidup dan warga emas itu kini menyasarkan untuk merebut takhta individu paling tua yang pernah hidup, yang sebelum ini dipegang oleh seorang wanita Perancis, yang meninggal dunia pada usia 122 tahun.

"(Kane) berkata beliau mahu memecahkan rekod itu," kata cucunya Eiji Tanaka, seperti yang dipetik CNN.

RANCANGAN BAWA OBOR OLIMPIK BERGANTUNG KEPADA KESIHATAN

Keluarga Tanaka berkata beliau tidak melakukan sebarang latihan untuk membawa obor itu nanti tetapi berasa ghairah untuk menjadi sebahagian daripada acara sukan Olimpik.

Sekalipun demikian, cucunya Eiji Tanaka berkata penyertaan neneknya pada Julai nanti - yang ditaja oleh syarikat insurans hayat Jepun - akan bergantung kepada kesihatan dan cuaca. 

- Agensi berita/NK/nk

Top