Images
  • cobra
    Gambar hiasan ular tedung. (Gambar: YE AUNG THU / AFP)

Wanita terkejut terserempak ular tedung selar ketika mahu ke tandas di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita terkejut apabila terserempak dengan seekor ular tedung selar sepanjang tiga meter di depan tandas rumahnya di Kampung Beladau Kepong di sini, awal pagi tadi (11 Okt).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Rozizah Abni Hajar berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.44 pagi dan tiga anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Kehadiran haiwan berbisa itu disedari oleh seorang daripada enam sekeluarga yang menghuni rumah itu ketika hendak ke tandas. Ular itu dilihat keluar dari pintu tandas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Cik Rozizah berkata operasi menangkap ular tedung selar itu berlarutan sehingga sejam kerana keadaan dalam rumah itu sempit dan dipenuhi pelbagai barangan.

“Keadaan ini memaksa pihak kami memanggil pakar ular di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohamad Azizi Abd Aziz ke lokasi kejadian, tidak sampai lima minit selepas itu, ular berjaya ditangkap di bawah almari,” katanya.

Beliau berkata ular tedung selar itu kemudiannya dilepaskan ke habitat asal yang jauh daripada penempatan penduduk. 

- BERNAMA/NA/na

Top