Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita terkejut lahirkan anak sekali lagi selepas 26 hari

Seorang wanita Bangladesh yang baru melahirkan seorang bayi, memeranjatkan para doktor apabila hanya 26 hari kemudian, beliau melahirkan pula sepasang bayi kembar.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita terkejut lahirkan anak sekali lagi selepas 26 hari

Gambar hiasan. (Gambar fail: REUTERS/Toru Hanai)

Diterbitkan : 28 Mar 2019 12:47AM Dikemas Kini : 28 Mar 2019 12:48AM

DHAKA: Seorang wanita Bangladesh yang baru melahirkan seorang bayi, memeranjatkan para doktor apabila hanya 26 hari kemudian, beliau melahirkan pula sepasang bayi kembar.

Begini ceritanya. Arifa Sultana, 20 tahun, melahirkan seorang anak lelaki bulan lalu menerusi kelahiran biasa. Bayi tersebut dilahirkan tidak cukup bulan. Ketika itu, para doktor gagal mengesan bahawa sebenarnya ada lagi anak lain dalam perut ibu itu.

"(Arifa) tidak sedar bahawa sebenarnya beliau masih mengandungkan anak kembar tersebut. Air ketubannya pecah lagi 26 hari selepas bayi pertama dilahirkan dan dia bergegas menemui kami," kata Dr Cik Sheila Podder, pakar perbidanan yang merawat wanita itu.

Dr Podder kemudian menjalankan pembedahan caesarean kecemasan ke atas Cik Arifa untuk melahirkan bayi kembar itu - seorang lelaki dan seorang perempuan pada Jumaat lalu (22 Mac).

Ibu muda yang tinggal di kawasan Jessore di barat daya Bangladesh itu dibenarkan pulang kelmarin (Selasa, 26 Mac) dengan ketiga-tiga bayinya dalam keadaan sihat.

"Saya tidak pernah melihat sebarang kes seperti ini dalam lebih 30 tahun kerjaya perubatan saya," ujar Dr Dilip Roy, yang merupakan ketua doktor pemerintah di Jessore.

Dr Roy juga mempersoalkan tindakan para doktor di Hospital Kolej Perubatan Khulna kerana gagal mengesan kehamilan kedua itu.

Cik Arifa, yang datang dari keluarga miskin, gembira dengan kehadiran tiga orang bayi itu. Namun beliau juga berasa bimbang bagaimana untuk membesarkan ketiga-tiga bayi itu.

Suaminya hanya membawa pulang berpendapatan sekitar 6,000 taka sebulan (S$95) sebagai seorang buruh.

"Saya tidak tahu bagaimana kami mampu menguruskan tanggungjawab besar itu dengan jumlah wang yang kecil ini," keluh Cik Arifa.

Namun demikian, suami beliau yang bernama Sumon Biswas, kedengaran lebih positif: "Ini satu keajaiban dari Allah bahawa semua anak-anak saya dalam keadaan sihat. Saya akan cuba sedaya upaya saya untuk memastikan mereka terus gembira." 

Sumber : AFP/DIWAI/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan