Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita Sindrom Down 'dilarang melawat bapa di Australia' akhirnya diberi visa

Keluarga seorang wanita warga Britain yang mengalami Sindrom Down meraikan visa yang diberi pemerintah Australia untuk membenarkannya melawat bapanya di Perth.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Sindrom Down 'dilarang melawat bapa di Australia' akhirnya diberi visa

(Gambar fail: Greg Wood/AFP)

Diterbitkan : 09 Mar 2019 03:47PM Dikemas Kini : 09 Mar 2019 03:50PM

PERTH: Keluarga seorang wanita warga Britain yang mengalami Sindrom Down meraikan visa yang diberi pemerintah Australia untuk membenarkannya melawat bapanya di Perth.

Pemerintah Australia merubah fikirannya selepas berita beliau dilarang berbuat demikian tersebar luas.

Ashleigh Callaway, 24 tahun, yang mengalami Sindrom Down sebelum ini dilarang memasuki Australia kecuali jika beliau menjalani pemeriksaan perubatan secara menyeluruh.

Beliau membuat permohonan visa empat minggu untuk berjumpa bapa dan saudara-maranya di Perth, barat Australia.

Namun, Pejabat Suruhanjaya Tinggi Australia menolak permohonannya dan menyatakan bahawa beliau perlu mendapatkan sijil perubatan pakar untuk memasuki negara itu, lapor Mirror UK. Visa Ashleigh hanya diluluskan pada 8 Mac.

Ibu Ashleigh, Cik Karen Tweedie menceritakan tentang masalah yang dihadapi keluarganya sebelum pemerintah Australia merubah fikirannya.

Beliau berkata: "Ia amat mengesalkan. Anda atau saya tidak akan pernah disuruh menjalani pemeriksaan kesihatan - ini dilakukan semata-mata kerana dia mengalami Sindrom Down.

"Anda mungkin tidak sangka ini akan berlaku dalam abad ke-21.

"Mereka tidak melayannya sebagai seorang individu dengan hak kemanusiaan seperti orang lain - dia tidak sepatutnya melalui tekanan ini."

Ashleigh, yang tinggal di Sittingbourne, Kent, buat masa ini tidak perlu menjalani sebarang rawatan perubatan.

Cik Tweedie, yang bekerja di Khidmat Kesihatan Kebangsaan (NHS), membantu keluarga-keluarga yang mengalami masalah psikiatrik, berkata: "Beliau tidak memerlukan sebarang perhatian apabila berada di luar sana, dia tidak akan menjadi beban di Australia. Dia ada insurans perubatan."

Menurut Mirror UK, keluarga Ashleigh terdahulu berulang kali berdepan dengan masalah dengan pihak berkuasa Australia.

Ashleigh sudah beberapa kali memasuki Australia sebelum ini dan beliau tidak diperlukan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Namun, keluarganya sebelum ini dipaksa mendapatkan surat pengesahan daripada sekolahnya dan menyerahkan bukti kerakyatannya di Britain.

"Saya sedih. Dia darah daging saya - keluarganya akan membuat apa sahaja untuknya," kata Cik Tweedie.

Keluarga tersebut berharap untuk berpindah ke Australia secara tetap dan menetap di sana selama 11 bulan pada 2003.

Namun, Pemerintah Australia menyatakan ia enggan memperbaharui visa Ashleigh, walaupun Cik Tweedie, bekas suaminya, dan seorang lagi anak mereka dibenarkan tinggal di negara itu.

Mirror UK difahamkan bahawa Ashleigh tidak dibenarkan menetap di negara itu kerana "akan menjadi beban bagi negara".

"Saya tahu mereka mempunyai peraturan ketat tetapi itu jelas satu diskriminasi hanya kerana dia mengalami Sindrom Down." 

Sumber : Agensi berita/AQ/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan