Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita mati dipukul suami dengan rak penyidai baju

Seorang wanita maut dipercayai akibat dipukul dengan rak penyidai baju oleh suaminya dalam satu pertelingkahan di sebuah pangsapuri sewa.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita mati dipukul suami dengan rak penyidai baju

Gambar fail kereta polis di Malaysia. (Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 20 Nov 2018 12:59AM Dikemas Kini : 20 Nov 2018 01:02AM

GEORGE TOWN: Seorang wanita maut dipercayai akibat dipukul dengan rak penyidai baju oleh suaminya dalam satu pertelingkahan di sebuah pangsapuri sewa.

Kematian wanita itu bagaimanapun hanya diketahui sehari selepas dipercayai dibunuh, selepas suaminya yang merupakan seorang guru, menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di Kedah kira-kira pukul 4.30 petang pada Isnin (20 Nov).

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Che Zaimani Che Awang berkata selepas pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada IPD Kulim, sepasukan polis kemudiannya membawa suspek berusia 42 tahun itu ke kediaman mereka di Air Itam pada jam 5.45 petang.

Beliau berkata sebaik tiba di pangsapuri sewa berkenaan, polis menemui mayat T.Santi, 39 tahun, dalam keadaan berlumuran darah di bilik belakang pangsapuri itu dan pemeriksaan awal mendapati terdapat beberapa kesan kecederaan di bahagian kepalanya.

"Suspek mendakwa dalam kejadian itu dia terjaga dari tidur pada jam 10.00 malam sebelum berlaku perselisihan faham dengan isterinya, dan dia kemudiannya bertindak mengambil rak penyidai baju lalu memukul kepala wanita itu," kata ACP Che Zaimani.

Beliau selanjutnya berkata, lelaki itu kemudian keluar dari rumah pada jam 11.00 malam, dan pulang ke kampungnya di Kulim; sebelum kembali semula ke pangsapuri berkenaan pada jam 11.00 pagi ini (19 Nov) dan mendapati isterinya masih tidak sedarkan diri.

Lelaki berbangsa Cina itu kemudian memaklumkan kejadian berkenaan kepada keluarga sebelum mereka mengarahkannya supaya membuat aduan polis di IPD Kulim.

"Pemeriksaan oleh pakar Patalogi mendapati wanita yang bekerja sebagai guru tuisyen itu mati di tempat kejadian akibat dipukul dengan benda tumpul di kepala dan pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kesan kecederaan di sebelah kanan kepala, kening dan telinga," katanya.

Pasangan itu berkahwin sejak 10 tahun lalu dan tidak mempunyai anak.

Mayat wanita dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat manakala suaminya ditahan untuk siasatan lanjut. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan