Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita M'sia minta bantuan cari suaminya; suami kemudian ditemui di hospital Jurong

Apabila sekatan sempadan dilaksanakan antara Singapura dan Malaysia, sebilangan pasangan terpaksa berpisah sementara setelah salah seorang daripada mereka perlu terus bekerja di seberang tambak demi menyara keluarga.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita M'sia minta bantuan cari suaminya; suami kemudian ditemui di hospital Jurong

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 26 Nov 2020 10:32PM Dikemas Kini : 26 Nov 2020 10:37PM

SINGAPURA: Apabila sekatan sempadan dilaksanakan antara Singapura dan Malaysia, sebilangan pasangan terpaksa berpisah sementara setelah salah seorang daripada mereka perlu terus bekerja di seberang tambak demi menyara keluarga.

Hanya panggilan telefon dan video menjadi pengubat rindu sepanjang tempoh perlu berjauhan.

Namun setelah berbulan-bulan hidup terpisah, ada yang mula berasa bimbang tentang kebajikan pasangan masing-masing, terutama sekali jika mereka terpaksa tinggal bersendirian di negara asing.

Baru-baru ini, Bernama bertemu dengan seorang wanita warga Malaysia yang meminta bantuan mencari suaminya yang bertugas di Singapura.

ISTERI RESAH, SUAMI REBAH SEMASA PANGGILAN

"Tolong puan, carikan suami saya," demikian rintihan Cik Noraini Dahlan yang terputus hubungan dengan suaminya yang merupakan seorang warga Singapura, sejak Sabtu lalu (21 Nov).

Menurut Cik Noraini, beliau sedang bercakap dengan suaminya menerusi panggilan video apabila suaminya rebah secara tiba-tiba.

“Dia rebah tiba-tiba ketika sedang bercakap menerusi panggilan video. Saya hanya mendengar perkataan kuarantin dan hospital,” kata Cik Noraini yang merupakan seorang suri rumah kepada Bernama.

Ketika kali terakhir mereka berhubung, suami Cik Noraini ingin memaklumkan kepadanya akan keberadaannya selepas beliau mendakwa disamun lalu dipukul hingga menyebabkan sebelah penglihatan matanya rosak.

“Itu saja maklumat yang saya ada selain nombor kad pengenalan Singapuranya,” kata Cik Noraini, 39 tahun, yang menyewa rumah di Pasir Gudang bersama suaminya Hussien Ahmat, 61 tahun, yang dikahwininya empat tahun lalu.

Menurutnya, Encik Hussein yang bekerja sebagai seorang pekerja pembersihan di sebuah kilang di Jurong, tidak dapat lagi berulang-alik ke Johor menyusuli pelaksanaan sekatan sempadan di kedua-dua negara bagi mengekang penularan COVID-19.

“Ikutkan hati saya, saya ingin cari sendiri ke Singapura namun memang saya tidak mampu. Saya amat risau sebab dia kurang sihat sejak alami kemalangan dan menjejaskan kakinya. Apatah lagi dengan keadaan hilang sebelah penglihatan,” katanya sebak.

SUAMI TIADA TEMPAT TINGGAL SELAMA 8 BULAN TERKANDAS

Cik Noraini yang kini tinggal buat sementara waktu di rumah kakaknya di Kota Tinggi, Johor berkata bahawa suaminya tidak mempunyai tempat tinggal sepanjang lapan bulan terkandas di Singapura.

Dengan keadaan kesihatan yang semakin merosot, Cik Noraini menjangkakan suaminya mungkin sukar untuk terus bekerja bagi menampung komitmennya di Malaysia.

“Suami satu-satunya tempat saya bergantung. Saya kehilangan anak lelaki berusia 21 tahun, anak dari perkahwinan saya sebelum ini,” katanya.

Bagi menampung kos sara hidup buat masa ini, Cik Noraini dibantu oleh adik beradiknya dan turut menerima wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

SUAMI CIK NORAINI BERJAYA DIJEJAKI DI S'PURA

Berpandukan perbualan dengan Cik Noraini, Bernama berjaya menjejaki Encik Hussein di sebuah hospital di Jurong dan beliau dibenarkan pulang daripada hospital pada Rabu (25 Nov).

Semasa dihubungi, Encik Hussien berkata beliau sudah hilang pekerjaan dan hanya mempunyai S$10 di dalam poketnya.

Dengan bantuan beberapa orang warga Malaysia yang bertugas di sini, Encik Hussein kini menetap buat sementara waktu di S Inn Hostel di 38 Hong Kong Street, menurut Bernama.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan