Images
  • crime
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP)

Wanita kurang upaya rentung, ibu lecur dalam kebakaran rumah panjang

BINTULU: Seorang wanita kurang upaya rentung manakala ibunya seorang warga emas melecur badan serta lengan, dalam kebakaran di Rumah Panjang Chandi di Selangau, malam semalam (14 Apr).

Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan pagi ini berkata, mangsa yang rentung dikenali sebagai Cik Riti Jubi, 43 tahun, manakala ibunya Cik Diah Bunyah, 80 tahun, melecur 10 peratus dalam kebakaran yang meranapkan seluruh rumah panjang 22 buah pintu itu.

"Semasa kejadian hanya mangsa serta ibunya berada di rumah panjang kerana ada penghuni menghadiri majlis kematian di rumah jiran, dan ada juga bilik yang tidak berpenghuni," katanya sambil menambah kira-kira 300 orang mendiami rumah panjang tersebut.

Kenyataan itu menyebut, mayat mangsa ditemui di rumah pintu no 17, dalam keadaan rentung pada jam 11.05 malam semalam (14 Apr) dan sudah diserahkan kepada polis Mukah jam 6.30 pagi ini untuk tindakan selanjutnya.

"Bomba Tatau menerima panggilan pada jam 8.25 malam semalam namun ia terletak sejauh 60 kilometer dan tidak dapat dilalui jentera kerana kawasan itu berbukit sekali gus menyukarkan pihak bomba untuk tiba di tempat kejadian.

“Ketiadaan liputan telekomunikasi di lokasi menyebabkan laporan operasi kebakaran tidak dapat dilaporkan," katanya sambil menambah kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.30 pagi tadi.

- BERNAMA/NA/na

Top