Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita kurang upaya ditemui rentung dalam kebakaran kedai

Seorang pekerja sebuah kedai makan yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati selepas premis tersebut yang terletak di Jalan Gajah Mati di sini terbakar, awal pagi tadi (31 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita kurang upaya ditemui rentung dalam kebakaran kedai

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 31 Dec 2018 03:59PM Dikemas Kini : 31 Dec 2018 04:07PM

KOTA BHARU: Seorang pekerja sebuah kedai makan yang juga orang kelainan upaya (OKU) ditemui mati selepas premis tersebut yang terletak di Jalan Gajah Mati di sini terbakar, awal pagi tadi (31 Dis).

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.50 pagi itu, mangsa yang pekak dan bisu dijumpai rentung oleh pasukan bomba selepas berjaya memadamkan kebakaran pada 7.17 pagi.

Ketua Bomba Zon Kota Bharu, Pegawai Kanan Bomba II, Syobirin Abd Kadir berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 5.56 pagi dan tujuh jentera bomba dengan 31 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, BBP Darul Naim dan BBP Tunjong bergegas ke lokasi.

Beliau berkata kebakaran melibatkan dua premis kedai makan dan sebuah rumah kediaman.

"Sebaik tiba, api sudah membakar hampir 70 peratus premis dan api dapat dikawal pada 6.10 pagi," katanya dan menambah setakat ini, punca kebakaran dan kerugian masih dalam siasatan.

Jelasnya, mangsa yang rentung belum dikenal pasti identitinya dan hanya dikenali sebagai Mok Su, 40 tahun, yang juga pekerja di premis berkenaan.

"Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai makan, Zaidah Mohd Istiak, 50 tahun berkata semasa kejadian beliau sedang tidur di tingkat bawah premis berkenaan bersama ibu saudara serta seorang cucunya yang berusia enam tahun.

"Saya tersedar dan melihat api sudah marak di ruang dalam kedai dan terus menjerit sekuatnya untuk mengejutkan orang lain termasuk dua lagi pekerja yang tidur di tingkat atas.

"Seorang pekerja lelaki sempat terjun untuk menyelamatkan diri manakala Mok Su gagal keluar dari bilik disebabkan api terus marak," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Cik Zaidah berkata beliau terpaksa memecahkan pintu belakang premis untuk keluar kerana ruang hadapan dalam kedai sudah tidak dapat dilalui.

"Kebakaran berlaku dengan pantas dan kami semua tinggal sehelai sepinggang. Apa yang menyedihkan semua keperluan persekolahan cucu saya yang akan memulakan persekolahan di Tahun Satu esok turut hangus," katanya.

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan