Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita ini ubah rumah sendiri jadi tempat perlindungan 300 kucing jalanan, terbuang

Inilah namanya ihsan. Wanita Indonesia bernama Dita Agusta ini jadikan rumahnya sendiri tempat berlindung bagi 300 kucing jalanan yang sakit atau didera.  

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini ubah rumah sendiri jadi tempat perlindungan 300 kucing jalanan, terbuang

Dita Agusta menjadikan rumahnya sebuah tempat perlindugan bagi kucing jalanan atau terbuang (Gambar: Nivell Rayda)

Diterbitkan : 06 Dec 2020 05:22PM Dikemas Kini : 06 Dec 2020 05:43PM

PARUNG: Seorang wanita berusia 80-an tahun kelihatan berkunjung di Rumah Kucing Parung, sebuah rumah satu tingkat di pinggir daerah Parung, satu jam setengah perjalanan dari Jakarta.

Dengan menaiki van anak lelakinya, beliau datang membawa 10 ekor kucing.

Pengasas pusat perlindungan itu, Dita Agusta, berkata wanita tersebut akan berpindah ke Bandung bersama anaknya setelah bertahun-tahun tinggal bersendirian di Jakarta. Bagaimanapun, anaknya memberitahu si ibu dia hanya boleh membawa dua daripada 20 kucing peliharaannya.

"Ini kunjungan keduanya," kongsi Cik Agusta, 46 tahun, setelah selesai menemani wanita berusia itu mengelilingi tempat perlindungan itu untuk bertemu dengan lapan ekor kucing yang diserahkannya semasa kunjungan sebelum ini.

"Wanita itu berkeras menemani anaknya ke pusat ini meskipun perjalanan jauh dari rumahnya. Dia khuatir anaknya akan membuang kucing-kucingnya jika dia tidak ikut."

Dita Agusta menjadikan rumahnya sebuah tempat perlindugan bagi kucing jalanan atau terbuang (Gambar: Nivell Rayda)

Cik Agusta pernah mendengar kisah serupa sebelum ini. Sejak menukar sebahagian rumah keluarganya menjadi tempat perlindungan bagi kucing jalanan dan terbuang lima tahun lalu, ibu anak tiga itu sudah mendengar pelbagai alasan oleh pemilik yang ingin melepaskan kucing peliharaan mereka.

Bilangan orang yang menyerahkan kucing mereka ke tempat perlindungan itu meningkat dengan ketara akibat COVID-19. "Sebelum pandemik, 80 peratus kucing di sini diselamatkan. Sekarang, saya anggarkan 50-50 (antara kucing diselamatkan dan kucing peliharaan yang diserahkan)," kongsi beliau kepada Mediacorp.

Setiap minggu, Rumah Kucing Parung akan menyambut lima hingga 10 pendatang baru, memberi tekanan kepada ruang 644 meter persegi yang juga merupakan rumah keluarga Cik Agusta.

"Sementara itu, derma berkurangan kerana COVID-19. Semua orang terjejas,” katanya.

Dana yang diterima cukup-cukup untuk makanan dan ubat-ubatan kucing. Gaji enam pekerja di pusat itu dibiaya CIk Agusta sendiri.

Dengan begitu banyak pendatang baru setiap minggu, Cik Agusta sudah tidak terkira jumlah kucing di pusat perlindungan itu.

"Lebih daripada 300," anggar beliau.

AKTIVIS TANPA SENGAJA

Cik Agusta bukan seorang pencinta kucing sehinggalah pada tahun 2000, pada usia 26, apabila anak-anaknya cukup umur untuk menyimpan haiwan peliharaan. Keluarganya mengambil seekor kucing baka tulen yang beberapa tahun kemudian mati akibat sakit tua.

Pada 2003, suami Cik Augusta menyelamatkan kucing jalanan pertama keluarga itu, dari longkang berdekatan dengan sebuah masjid.

Tindakan suaminya dan kehadiran dua ekor anak kucing itu mengusik hati Cik Agusta.

"Saya rasa kucing jalanan seperti ini yang layak terima perhatian dan jagaan saya. Mereka yang paling memerlukan bantuan saya," tambahnya.

Sejak itu, Cik Agusta kerap menyelamatkan kucing di jalanan, terutamanya yang dia rasakan kurang peluang untuk terus hidup jika dibiarkan di luar sana.

"Yang perlukan bantuan adalah mangsa langgar lari, kucing yang sakit atau cacat dan anak kucing tanpa ibu. Saya tidak akan berfikir panjang untuk bawa pulang," katanya.

Saban tahun, wanita ini menyaksikan pelbagai jenis penyakit dan penderaan yang dialami kucing-kucing.

Cik Agusta pernah juga selamatkan kucing yang "dipukul bantai malah disimbah dengan minyak panas", sambil menambah dia mula berkawan dengan pencinta dan penyelamat kucing yang ditemui online.

Dita Agusta menjaga kucing-kucing yang sakit, di jalanan atau terbuang (Gambar: Nivell Rayda)

Dita Agusta menjaga kucing-kucing yang sakit, di jalanan atau terbuang (Gambar: Nivell Rayda)

Namun apabila jumlah kucing bertambah, jiran-jiran Cik Agusta mula mengadu.

"Rumah lama kami hanya 60 meter persegi. Saya membeli hartanah ini pada 2014 dan pada awalnya saya menjadikannya sebuah kebun, tempat untuk perniagaan saya, ”kata suaminya Encik Muhammad Lutfi, sambil menambah bahawa pada ketika itu keluarga mereka mempunyai 30 ekor kucing.

"(Tapi) Kerana jiran mula mengeluh, perkara pertama yang saya bina adalah dua bilik untuk semua kucing kami. Kami membina rumah bahagian lain rumah ini sepanjang tujuh bulan kemudian."

Lama kelamaan, makin ramai kawan-kawan Cik Agusta menempatkan kucing yang diselamatkan di rumah itu kerana tahu kawasan itu adalah selamat dan mesra kucing.

Sebagai pertukaran, mereka membantu Cik Agusta mempromosikan pusat perlindungan itu dan mencari bakal penderma serta orang-orang untuk mengambil kucing menjadi peliharaan.

RUMAH HINGGA AKHIR HAYAT

Cik Agusta berusaha keras untuk mendapatkan pemilik baru untuk kucing-kucing yang diselamatkannya termasuk menyertai pertunjukan kucing dan pelbagai pertandingan. Ternyata banyak kucingnya menang dalam kategori baka campuran, termasuk kucing yang diselamatkan dari jalanan.

"Saya ingin tunjukkan bahawa dengan sedikit kasih sayang dan perhatian, kucing dari jalanan boleh menjadi haiwan peliharaan yang baik," katanya.

Pandemik COVID-19 menyebabkan peraduan dan pertunjukan kucing kini tidak lagi diadakan. Namun hakikatnya, walaupun dahulu kerap menyertai pertandingan, hanya tiga atau empat kucing dari pusat perlindungannya diambil pemilik baru setiap minggu.

Antara anugerah yang dimenangi kucing-kucing dipelihara Dita Agusta (Gambar: Nivell Rayda)

Antara anugerah yang dimenangi kucing-kucing dipelihara Dita Agusta (Gambar: Nivell Rayda)

"Sama seperti pusat perlindungan lain, kadar pengambilan rendah. Majoriti (penghuni tempat perlindungan) akan mati di sini. Kita boleh menjadikan hidup selesa untuk mereka. Paling tidak pun di sini, mereka tidak akan mati kelaparan atau penderaan haiwan," ujar Cik Agusta.

"Masalah kucing liar dan terbengkalai dapat dikesan kembali ke bilangan yang berlebihan. Kita perlu mendidik orang ramai tentang pentingnya pengembirian untuk mengawal populasi kucing," tambahnya.

Cik Agusta akur mendidik orang ramai tentang pentingnya mengembiri kucing adalah tugas yang berat. Sehinggalah jumlah kucing dapat terkawal, dia tahu bilangan kucing yang dihantar ke rumahnya hanya akan bertambah. Lantaran itu, wanita ini bercadang menambah ruang 200 meter persegi bersebelahan pusat sedia ada kelak.

"Masih banyak kucing di luar sana yang memerlukan bantuan kami," katanya. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan