Images
  • baby white (1)
    (Gambar fail: Luma Pimental/Unsplash)

Wanita ini timang cahaya mata selepas 13 kali gugur kandungan

LONDON: Seorang wanita, yang akhirnya menimang cahaya mata selepas mengalami keguguran sebanyak 13 kali, memuji para pakar kesuburan Jabatan Kesihatan Nasional (NHS).

Malah, beliau berharap kisah dan pengalamannya dapat memberi kekuatan kepada para wanita lain yang mengalami kesulitan menimang cahaya mata.

Sejak 2008, Laura Worsley mengalami keguguran sebanyak 11 kali semasa trimester pertama, lapor The Independent. Beliau kehilangan dua bayi lelakinya, Leo dan Graceson, masing-masing semasa hamil 17 minggu dan 20 minggu.

Selepas menjalani pelbagai ujian dan rawatan untuk mengatasi isu kesuburan, Cik Worsley dan suaminya Dave memutuskan percubaan ke-14 adalah yang terakhir buat mereka.

Cik Worsley dikejarkan ke hospital apabila ketubannya pecah hampir dua bulan lebih awal dan anak perempuannya, Ivy, dilahirkan menerusi pembedahan Caesarean pada September tahun lalu.

Cik Worsley berkata beliau amat berterima kasih kepada para kakitangan di Hospital University Coventry dan Warwickshire (UNCW) NHS Trust, yang membantu beliau menimang cahaya mata yang diimpikannya selama bertahun-tahun.

Menurut laporan The Independent, pasangan itu mula berjumpa dengan seorang pakar kesuburan, Siobhan Quenby, di unit penyelidikan hospital berkenaan dan mengenal pasti dua masalah kesihatan yang menjejas kandungannya.

Pada awalnya, beliau diberikan folik asid bagi merawat sindrom antifosfolipid, yang juga dikenali sebagai "sindrom darah melekit", yang boleh meningkatkan risiko keguguran. 

Cik Worsley juga mengalami masalah intervillositis histiositik kronik (CHI), yang menyebabkan tubuhnya menyerang uri yang membawa bekalan darah dan zat kepada bayi.

Menggunakan ubat untuk memperbaiki lapisan rahim dan steroid kuat untuk mengawal sistem imunnya, beliau akhirnya berjaya hamil melepasi minggu ke-24, di mana bayi pramatang mempunyai peluang terbaik untuk hidup.

Ivy diletakkan di dalam inkubator bayi selama beberapa bulan selepas dilahirkan.

Baru-baru ini, satu majlis bagi meraikan Ivy diadakan di mana lebih £1,000 (S$1,720) dikumpul untuk Dana UHCW bagi membiayai kajian serupa yang dapat membantu pasangan seperti mereka.

"Penting sekali bagi saya untuk dapat membuat perbezaan bagi sesiapa sahaja yang mengalami apa yang saya lalui," katanya, seperti dipetik oleh The Independent. "Menerusi kisah saya, saya ingin memberikan harapan dan kekuatan kepada mereka supaya jangan sekali-kali berputus asa."  

- Agensi berita/AI/ai

Top