Wanita ini tidur 19 jam sehari! Bukan kerana malas tetapi...
Selama enam tahun, Kristen Devanna, 27 tahun, mengalami kulit pecah-pecah, berasa sejuk dan lelah berterusan sehingga beliau tidur sejam selepas baru sahaja berjaga.
NEW YORK: Selama enam tahun, Kristen Devanna, 27 tahun, mengalami kulit pecah-pecah, berasa sejuk dan lelah berterusan sehingga beliau tidur sejam selepas baru sahaja berjaga.
Tanpa disangka-sangkakan, keadaannya ini sebenarnya merupakan satu penyakit autoimun (autoimmune disease) yang membuatnya berasa terlalu lemah dan perlu tidur selama 19 jam sehari.
Cik Devanna akhirnya mendapat tahu bahawa beliau menderita penyakit Hashimoto pada 2013, iaitu sejenis penyakit yang disebabkan oleh tindakan antibodi terhasil daripada tindak balas terhadap bahan-bahan yang biasa terdapat dalam badan.
Seolah-olah terus dirundung malang, tiada pakar yang ditemui mampu merawat penyakitnya itu. Ubat-ubatan yang diberikan tidak berkesan. Begitu juga dengan perubahan diet yang disarankan.
"Penyakit itu mengawal tubuh saya sepenuhnya," kata Cik Devanna.
INGIN TIUP SEMANGAT DALAM PESAKIT PENYAKIT KRONIK
Baru-baru ini, Cik Devanna sering berkongsi tentang kisah hidupnya dengan mereka yang mengalami penyakit kronik, lapor Daily Mail.
Guru sastera itu sering mengingatkan para pesakit yang ditemui: "Sudah menjadi lumrah kehidupan manusia, ada ketikanya senang dan ada ketikanya susah. Mudah untuk menyifatkan penyakit anda sebagai satu nasib malang yang menimpa diri anda. Tetapi anda menghidap penyakit ini kerana anda mampu menanganinya dan mungkin anda ditakdirkan untuk membawa kesan yang bermakna di dunia ini."
Penyakit Hashimoto menjejas 10 pesakit bagi setiap 10,000 orang setiap tahun.
Bercerita lebih lanjut tentang gejala penyakit Hashimoto, Cik Devanna berkata bahawa beliau pada awalnya merasakan perubahan-perubahan pada tubuhnya. Namun, simptom yang paling ketara adalah beliau memerlukan waktu tidur yang sangat panjang.
"Saya akan bangun pada waktu pagi dan kemudian tidur lagi sejam selepas itu. Saya terpaksa cuba sedaya upaya untuk terus berjaga.
"Ada juga hari-hari di mana badan saya berasa sakit apabila baru balik dari kedai atau selepas mandi. Saya nangis ketika membersihkan katil saya," kata Cik Devanna kepada Daily Mail.
Lebih menyedihkan lagi, Cik Devanna gagal mendapatkan sokongan yang benar-benar beliau perlukan pada ketika itu.
BERSENAM, BERSUKAN UNTUK KEMBALI AKTIF
Setelah segala usahanya gagal, Cik Devanna memutuskan untuk perlahan-lahan kembali bertenaga dengan bersenam di gimnasium setiap hari. Ternyata, beliau berhasil.
Bersenam merubah kehidupannya, kata Cik Devanna sambil menambah beliau "gembira dapat mengawal dan menjaga badannya".
"Saya dapat dengan bangga katakan saya lebih kuat. Endorfin kunci masalah kesihatan saya untuk menjadi lebih bertenaga," jelas Cik Devanna kepada Daily Mail.
Meski keadaannya semakin membaik, Cik Devanna berharap dapat terus meningkatkan kesedaran dalam kalangan para pesakit untuk membantu mereka.
"Matlamat saya adalah untuk membuktikan bahawa tidak semua penyakit jelas di mata orang ramai dan tiada yang boleh menilai keupayaan seseorang berdasarkan penampilan mereka."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.