Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita ini sanggup jadi badut untuk membela 50 kucing terbiar

‘Ambil belon dan derma seikhlas hati untuk bantu kucing jalanan. Tq (terima kasih).’ Demikian tertera tulisan pada sekeping papan tanda hitam kecil yang diletakkan bersama-sama satu bekas belon yang ditulis 'Mama Pinky', si badut wanita.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini sanggup jadi badut untuk membela 50 kucing terbiar

Perunding kecantikan, Nazirah Abd Rahman, sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut pada setiap hujung minggu untuk menyara 50 kucing yang dipeliharanya. (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 09:00PM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 09:03PM

IPOH: ‘Ambil belon dan derma seikhlas hati untuk bantu kucing jalanan. Tq (terima kasih).’ Demikian tertera tulisan pada sekeping papan tanda hitam kecil yang diletakkan bersama-sama satu bekas belon yang ditulis 'Mama Pinky', si badut wanita.

Nazirah Abd Rahman, seorang perunding kecantikan berusia 42 tahun, sanggup melakukan kerja sambilan sebagai badut pada setiap hujung minggu di Konda Kondi Cafe, Jalan Sultan Idris Shah, Ipoh, demi menyara 50 'anak-anak' si comel berbulu yang dipeliharanya sejak tiga tahun lalu.

Kehadiran Mama Pinky tepat pukul 9.00 malam pada setiap hujung minggu dan cuti umum di kafe berkenaan bertujuan untuk mencari duit poket tambahan bagi membeli makanan haiwan kesayanganya itu.

Sebaik selesai tugas sebagai perunding kecantikan di bandar Ipoh, Cik Nazirah - yang lebih mesra dengan panggilan 'Mama' - akan menyalin pakaian badut berwarna merah jambu dan menempek solekan wajah cukup ceria.

Kerjaya dan kemahiran solekan badut serta teknik menggubah belon dipelajari Cik Nazirah melalui laman sosial Youtube selain daripada badut 'Piweet dan ‘Bobo’ daripada komuniti ‘Kami Clown’ di Taiping.

Belon berwarna-warni dengan pelbagai bentuk seperti bunga, jantung (love) dan haiwan diletakkan di dalam bekas di suatu sudut kafe tersebut, menyasarkan pengunjung yang membawa anak-anak kecil.

Matlamat utama Mama Pinky adalah menarik perhatian sebagai penghibur dan berharap agar pengunjung kafe menghulurkan sumbangan serta menderma seikhlas hati.

Gelagat Mama Pinky yang sentiasa mengukirkan senyuman ternyata menghiburkan pelanggan dengan pelbagai aksi yang mencuit hati. Malangnya, langit tidak selalunya cerah. Meskipun belon diambil, adakalanya sumbangan tidak dihulurkan.

Namun, Mama Pinky tetap tabah dan sentiasa mengukirkan senyuman kerana beliau ikhlas membantu kucing jalanan. Duit poket lebihan itu akan digunakan untuk membeli makanan kucing serta anjing jalanan selain kucing jalanan yang dikutip dan dibelanya.

KASIH TERHADAP HAIWAN

Didikan ibu bapa agar sentiasa menyayangi haiwan menyebabkan wanita kecil molek itu begitu mengasihi dan menyayangi haiwan, tidak kira fizikalnya.

Kini, Cik Nazirah membela sebanyak 50 ekor kucing di rumahnya dekat Batu Gajah. Ada dalam kalangan kucing berkenaan dikutip dari beberapa pejabat veterinar setelah ditinggalkan pemiliknya.

Cik Nazirah juga sanggup menunggang motosikal setiap malam tanpa mengira waktu untuk singgah di Pasar Pinji, Ipoh, demi memberi makan kucing serta anjing yang berkeliaran di sekitar pasar berkenaan.

"Mama risau kalau tidak singgah situ, semua kucing tetap tunggu. Ada seekor kucing berwarna putih tompok-tompok hitam pun dah sedia tunggu Mama kat pasar itu.

“Jadi biar apapun, Mama akan singgah untuk beri makanan,” katanya. Kos makanan kucing mencecah antara RM400 dan RM500 (S$131- S$164), tidak termasuk kos rawatan di klinik, sekiranya kucing sakit.

"Kalau kucing sakit, Mama selalu hantar mereka ke Ipoh Garden Animal Clinic, Jean Veterinary Centre dan Klinik Haiwan Menglembu mengikut keadaan serta jenis kesakitan kucing,” jelasnya.

Menurut Nazirah lagi, tiga anak lelakinya - Muhd Nur Zikry Azamuddin, 23 tahun, Muhd Nur Aqil Naqimuddin, 22 tahun, dan Muhd Nur Danial Hafizuddin, 20 tahun - turut dididik mencintai haiwan.

“Anak-anak Mama pun sayang kucing. Tolong bawa kucing pergi veterinar kalau kucing sakit semasa Mama bekerja. Jika jumpa kucing jalanan yang sakit, mereka akan bawa balik untuk dirawat. Kalau mati, akan dibawa balik untuk ditanam,” kongsi beliau.

HAIWAN JUGA PERLU DIKASIHI

Cik Nazirah berkata masyarakat perlu mempunyai perasaan belas kasihan terhadap haiwan jalanan dan kucing peliharaan kerana haiwan-haiwan itu mengharapkan manusia untuk mendapatkan perlindungan serta makanan.

"Kita perlu menganggap haiwan kesayangan sebagai sebahagian daripada keluarga dan bukan sebagai haiwan ternakan. Kita perlu menjaga haiwan itu hingga ke akhir hayat. Jika sakit, bawa ke klinik untuk rawatan,” pesannya.

Beliau juga meminta masyarakat agar tidak meninggalkan kucing peliharaan di jalanan kerana haiwan itu sukar untuk berdikari.

“Sebelum ni, haiwan itu ada tuan yang menguruskan makanan dan tempat tingal. Tindakan meninggalkan kucing belaan di pasar atau kedai makan amat tidak selamat untuk haiwan.Iia sangat bahaya,” ujar beliau dengan penuh harapan. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan