Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita ini dermakan kornea sebagai permintaan terakhir demi 'menemui' anak yang hilang

Sebelum menghembuskan nafas terakhir, Wang Shiqun mengamanahkan kepada saudara perempuannya untuk mendermakan kedua-dua korneanya sebagai permintaan terakhir.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini dermakan kornea sebagai permintaan terakhir demi 'menemui' anak yang hilang

Wang Shiqun dan anaknya. (Gambar: South China Morning Post)

Diterbitkan : 23 Apr 2018 12:53PM Dikemas Kini : 25 Apr 2018 09:40AM

HONG KONG: Kasih ibu sepanjang hayat.

Demikian ungkapan paling sesuai untuk menyifatkan kasih seorang wanita asal kota Yibin, di tengah China terhadap anaknya.

Lebih menyayat hati, ibu bernama Wang Shiqun itu tidak tercapai hajat untuk menatap wajah anak kesayangannya yang hilang sejak lebih 20 tahun lalu itu.

Beliau meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat sakit barah payudara, minggu lalu.

Namun, Chengdu Economic Daily melaporkan bahawa sebelum menghembuskan nafas terakhir, Wang Shiqun mengamanahkan kepada saudara perempuannya untuk mendermakan kedua-dua korneanya sebagai permintaan terakhir.

Harapannya, agar si penerima kornea akan menjadi pengganti dirinya untuk 'melihat' anak lelakinya yang sudah dewasa jika beliau ditemukan.

Anaknya, Zhu Hai hilang ketika pulang dari sekolahnya pada 4 Jun 1996. Ketika itu, Zhu Hai berusia sembilan tahun dan di bawah jagaan bapanya selepas ibu bapanya bercerai. Hingga kini, sebab Zhu Hai hilang masih belum dipastikan.

Selama bertahun-tahun, Wang mengelilingi China untuk mencari anaknya itu.

Bukan perkara mudah bagi Wang kerana selain tidak mengetahui kejadian sebenarnya, beliau juga tidak tahu pakaian yang dikenakan Zhu ketika itu.

Bahkan, beliau turut ditipu beberapa kali dan diberi maklumat palsu oleh beberapa orang, demikian lapor Chengdu Economic Daily.

Pada 2010 Wang didiagnos menghidap barah bayu dara dan sebelum menjalani pembedahan pada Oktober, beliau menyatakan hajatnya untuk mendermakan kedua-dua korneanya.

"Beliau berkata apabila seseorang itu meninggal dunia, mayatnya akan dibakar, jadi lebih baik untuk menyumbang apa yang boleh didermakan," kata saudara perempuan Wang kepada Chengdu Economic Daily.

Adiknya menjelaskan, melalui kornea yang disumbangkan, Wang berharap dapat melihat anaknya kembali jika beliau pulang ke rumah.

Kornea Wang sudahpun didermakan kepada dua pesakit muda yang mengalami penyakit mata.  

Sumber : Agensi berita/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan