Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita ini bertukang hasilkan perkakas untuk disumbang secara percuma kepada sekolah

Tanpa mengenal penat lelah, seorang tukang kayu wanita cekal membanting tulang empat kerat untuk menghasilkan pelbagai perkakas sekolah secara percuma bagi disumbangkan kepada Sekolah Rendah Islam Nur Ehsan (SERINE), Titi Gantung, Parit, Perak. 

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita ini bertukang hasilkan perkakas untuk disumbang secara percuma kepada sekolah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 11:10PM Dikemas Kini : 27 Jun 2020 11:11PM

PARIT: Tanpa mengenal penat lelah, seorang tukang kayu wanita cekal membanting tulang empat kerat untuk menghasilkan pelbagai perkakas sekolah secara percuma bagi disumbangkan kepada Sekolah Rendah Islam Nur Ehsan (SERINE), Titi Gantung, Parit, Perak.

Musukubi Shamsuddin, 48 tahun - yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) di sekolah itu, berkata perkakas sekolah yang dihasilkan adalah sumbangannya bagi keselesaan 154 murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah berkenaan. Ini kerana beliau belum berkemampuan untuk menyampaikan bantuan dalam bentuk kewangan.

Wanita ibu tunggal itu menghasilkan pelbagai perkakas sekolah seperti rak buku, almari menyimpan sejadah serta al-Quran, meja kaunter, kerusi dan meja dengan menggunakan papan lapis setebal 1.27 sentimeter.

FACEBOOK SUMBER ILHAM KREATIF

Menariknya, kreativiti Cik Musukubi dalam menghasilkan pelbagai perkakasan itu hanya dengan melihat contoh gambar di Facebook.

“Saya rasa saya boleh buat (perkakas) untuk sekolah, jadi saya buat. Lagipun saya lihat banyak perkakas yang sudah tak boleh pakai. Jadi saya sebagai ahli PIBG, kerana anak, Nur Insyirah Ismail, 8, sekolah di sini, menyatakan hasrat saya untuk menghasilkan perkakas ini tanpa sebarang bayaran.

“Saya hanya melihat contoh gambar membuat perabot dalam media sosial dan membayangkan sendiri untuk membuat bentuk perkakas sekolah dengan kayu yang telah disediakan pihak sekolah,” katanya ketika ditemui Bernama di SERINE, baru-baru ini.

Cik Musukubi, yang lebih mesra dengan panggilan ‘Kak B’, berkata dalam sehari, beliau boleh menyiapkan dua hingga tiga jenis perkakas sekolah. Beliau bertukang setiap Isnin hingga Sabtu bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lalu.

BUAT PERABOT RUMAH SENDIRI

Penduduk Kampung Lambor Kiri itu berkata selain menghasilkan perkakas untuk sekolah, beliau juga membuat sendiri kelengkapan perabot di rumahnya termasuk buaian, tempat meletak pakaian kotor, meja dan kerusi.

“Saya mula minat kerja pertukangan kayu sejak berpindah balik ke kampung halaman di Kampung Lambor Kiri sekitar 2018. Saya bertukang hanya untuk kepuasan diri sendiri walaupun ada ibu bapa yang meminta menghasilkan perabot rumah selepas melihat hasil kerja saya di sekolah yang telah berusia hampir 30 tahun ini,” katanya yang sebelum ini bekerja di sektor perkilangan selama 25 tahun di Selangor.

Cik Musukubi berkata pihak pengurusan sekolah juga kini sedang mengumpul dana untuk membina sekolah yang baru meliputi bangunan blok satu tingkat, tujuh bilik darjah, bilik guru, pejabat dan sebuah makmal komputer di Gelung Pepuyu, Bota, di Parit.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan