Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita Indonesia jadi buruh paksa di Perak berjaya diselamatkan

Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi di Ayer Tawar, Perak pada Khamis lalu (23 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita Indonesia jadi buruh paksa di Perak berjaya diselamatkan

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 25 Sep 2021 03:12PM Dikemas Kini : 25 Sep 2021 03:13PM

PUTRAJAYA: Seorang wanita warga Indonesia yang dipercayai dijadikan buruh paksa oleh majikannya diselamatkan dalam satu operasi di Ayer Tawar, Perak pada Khamis lalu (23 Sep).

Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam kenyataan memaklumkan operasi menyelamat bersepadu oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Pasukan Tindakan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) dan polis itu dilakukan susulan aduan serta maklumat pihak Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur pada 20 Sept.

Menurut KSM, majikan dipercayai mengeksploitasi mangsa dengan ugutan yang beliau bukan pekerja sah dan sering kali memarahi mangsa sekiranya ingin kembali ke negara asal.

“Mangsa pernah dikasari secara fizikal iaitu disepak pada bahagian muka apabila mangsa meminta baki gaji yang tertunggak,” menurut kenyataan itu hari ini (25 Sep).

KSM memaklumkan wanita berkenaan masuk ke Malaysia secara sah dengan permit kerja sebagai pembantu rumah pada Jun 2003 melalui seorang ejen yang dikenalinya.

Selepas mendapat pekerjaan, gaji mangsa dipotong RM350 (S$113) sebulan selama empat bulan sebagai kos bayaran kepada ejen tersebut.

“Mangsa tidak mempunyai sebarang pengetahuan berhubung perkara ini kerana menyerahkan semuanya kepada ejen dan beliau mengakui tiada sebarang kontrak perjanjian bertulis dibuat berhubung proses penggajian termasuklah bayaran kepada ejen berkenaan,” katanya.

Menurut KSM, siasatan awal menunjukkan mangsa yang sudah tamat tempoh sah permit pada Jun 2020, diklasifikasikan sebagai buruh paksa berdasarkan beberapa indikator antaranya gaji mangsa tidak dibayar untuk tempoh tiga tahun dari 2018 hingga 2021 berjumlah kira-kira RM25,000 (S$8,077).

Berdasarkan situasi yang dihadapi mangsa, indikator menunjukkan bahawa majikan sudah melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, menurut KSM.

KSM memaklumkan mangsa yang masih trauma ditempatkan di Rumah Perlindungan Zon Tengah di Damansara selepas mangsa diberikan Perintah Perlindungan Interim (IPO) oleh Mahkamah Majistret Sri Manjung pada hari sama beliau diselamatkan.

IPO tersebut adalah untuk tempoh 21 hari iaitu hingga 13 Okt ini bagi melengkapkan satu kertas siasatan di bawah Akta ATIPSOM 2007 yang dikendalikan oleh JTK dan kertas siasatan itu akan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi semakan dan membuat keputusan.

“Ini (operasi yang dijalankan) jelas menunjukkan bahawa negara tidak akan sesekali berkompromi dalam isu buruh paksa tanpa mengira kewarganegaraan pekerja terbabit,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan