Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita dipenjara 18 bulan kerana buat aduan tentang laungan azan

Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana mengadu tentang laungan azan masjid. Ini merupakan kes terkini di bawah undang-undang khusus bagi perbuatan menista agama, yang kontroversil di Indonesia.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dipenjara 18 bulan kerana buat aduan tentang laungan azan

Meiliana didapati bersalah kerana menista Islam selepas meminta masjid di kawasan kejiranannya. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 23 Aug 2018 07:51PM Dikemas Kini : 23 Aug 2018 07:53PM

MEDAN: Seorang wanita dijatuhi hukuman penjara 18 bulan kerana mengadu tentang laungan azan masjid. Ini merupakan kes terkini di bawah undang-undang khusus bagi perbuatan menista agama, yang kontroversil di Indonesia.

Meiliana, 44 tahun, seorang penganut Buddha, didapati bersalah kerana menista agama Islam dengan menyuruh masjid di kawasan kejiranannya supaya mengurangkan bunyi sistem alat pembesar suara kerana ia terlalu kuat dan "menyakitkan" telinganya.

Terdapat sekitar 800,000 masjid di merata negara itu, dan laungan azan lima kali sehari kedengaran di mana-mana termasuk di bandar-bandar besar mahupun kawasan bandar kecil.

Mahkamah tempatan menyatakan bahawa komen wanita berkenaan yang dibuat dua tahun lalu, mencetuskan rusuhan-rusuhan di mana masyarakat Islam menyerbu masuk kuil-kuil Buddha. Sebilangan anggota masyarakat kaum Cina di kawasan itu lari bertempiaran kerana ketakutan.

Peguam bela Meiliana mengatakan bahawa anak guamnya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu sementara Amnesty International menggesa mahkamah lebih tinggi untuk menolak keputusan yang dikeluarkan.

"Keputusan tidak munasabah ini jelas satu pelanggaran kebebasan bersuara," kata Eksekutif Indonesia Amnesty International, Usman Hamid.

"Menjatuhi hukuman penjara 18 bulan atas sesuatu yang remeh benar-benar satu gambaran tentang undang-undang menista agama yang semakin digunakan sewenang-wenangnya dan menindas pihak lain."

Indonesia, yang mempunyai bilangan penduduk Islam terbesar, secara rasmi sebuah negara majmuk dengan adanya enam kelompok agama lain termasuk Hindu, Kristian dan Buddha. Kebebasan bersuara seharusnya terjamin dengan penguatkuasaan undang-undang.

Namun, mengkritik agama tertentu - khususnya Islam, agama yang dipegang lebih 90 peratus 260 juta warga Indonesia - boleh mengakibatkan seseorang dipenjara.

Kumpulan hak asasi sudah lama berkempen bagi menolak undang-undang menista agama negara itu, dan mendakwa bahawa ia sering disalahgunakan dan disasarkan terhadap kaum minoriti.

Tahun lalu, mantan gabenor Jakarta, Ahok - yang beragama Kristian dan berketurunan Cina - dijatuhi hukuman penjara selama dua tahun atas kesalahan menista agama Islam.

Naib Presiden Jusuf Kalla membuat rayuan pada 2015 supaya rumah-rumah ibadat mengurangkan bunyi sistem alat pembesar suara bagi para penduduk berdekatan.  

Sumber : AFP/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan