Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita dibenarkan di universiti, kelas campur dilarang, kata Taliban

Wanita Afghanistan akan dibenarkan menghadiri universiti selagi mereka belajar secara berasingan daripada lelaki, kata Menteri Pendidikan Tinggi baru Taliban pada Ahad (12 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita dibenarkan di universiti, kelas campur dilarang, kata Taliban

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 10:26PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 10:29PM

KABUL: Wanita Afghanistan akan dibenarkan menghadiri universiti selagi mereka belajar secara berasingan daripada lelaki, kata Menteri Pendidikan Tinggi baru Taliban pada Ahad (12 Sep).

Hak asasi wanita di Afghanistan dikekang kuat di bawah pemerintahan Taliban dari 1996 hingga 2001, namun sejak kembali berkuasa bulan lalu, mereka mendakwa akan melaksanakan peraturan yang kurang ekstrem.

Ketika bercakap kepada wartawan mengenai rancangan rejim baru itu untuk pendidikan negara tersebut, Menteri Abdul Baqi Haqqani menekankan lagi bahawa kelas campuran jantina ditiadakan.

"Kami tidak ada masalah dalam menghentikan sistem pendidikan campuran," katanya.

"Rakyat beragama Islam dan mereka akan menerimanya."

Pada awal bulan ini, Taliban mengumumkan bahawa wanita masih boleh belajar di universiti jika mereka memakai jubah abaya dan niqab yang menutupi sebahagian besar wajah mereka. Kelas pula dipisahkan mengikut jantina - atau sekurang-kurangnya dibahagi dengan tirai.

Menurut Haqqani sistem pendidikan Afghanistan sudah banyak berubah sejak kali terakhir Taliban berkuasa, apabila wanita dilarang ke sekolah dan universiti.

"Jika dibandingkan dengan masa lalu, jumlah institusi pendidikan meningkat secara mendadak," katanya.

"Ini memberi kami harapan untuk masa depan Afghanistan yang makmur dan berdikari... kami akan teruskannya."

Ada yang takut peraturan baru akan mengecualikan wanita kerana universiti tidak mempunyai sumber untuk menyediakan kelas yang berasingan.

Namun, Haqqani menegaskan ada cukup guru wanita dan, di mana mereka tidak tersedia, alternatif akan dicari tanpa melanggar peraturan.

"Itu semua bergantung pada kemampuan universiti," katanya. "Kami juga dapat menggunakan guru lelaki untuk mengajar dari balik tirai, atau menggunakan teknologi."

Taliban menyatakan mereka ingin menjauhkan diri dari dasar lebih keras pada masa lalu, di mana separuh penduduk terpinggir dari pekerjaan dan pendidikan.

Di bawah peraturan baru, wanita mungkin bekerja 'sesuai dengan prinsip-prinsip Islam'," ikrar Taliban tetapi perinciannya belum diberikan.

Sumber : AFP/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan