Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita AS sabit kesalahan bunuh ibu di Bali dihantar pulang

Wanita warga Amerika Syarikat Heather Mack, yang disabitkan kesalahan bersama teman lelaki atas kes pembunuhan ibunya yang menyaksikan mayat mangsa disumbat ke dalam sebuah beg pakaian di sebuah hotel mewah Bali pada 2014, dihantar pulang ke tanah air bersama anak perempuannya yang berusia enam.

Anggaran Waktu Membaca:
Wanita AS sabit kesalahan bunuh ibu di Bali dihantar pulang

Heather Mack diiringi keluar oleh para pegawai imigresen. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 02 Nov 2021 06:25PM Dikemas Kini : 02 Nov 2021 06:28PM

DENPASAR: Wanita warga Amerika Syarikat Heather Mack, yang disabitkan kesalahan bersama teman lelaki atas kes pembunuhan ibunya yang menyaksikan mayat mangsa disumbat ke dalam sebuah beg pakaian di sebuah hotel mewah Bali pada 2014, dihantar pulang ke tanah air bersama anak perempuannya yang berusia enam.

Demikian menurut pegawai imigresen Indonesia pada Selasa (2 Nov).

Mack yang kini berusia 25 tahun sedang mengandung ketika kejadian itu.

Dia dibebaskan dari penjara Bali minggu lalu, hampir tiga tahun lebih awal kerana berkelakuan baik dan dijadualkan terbang pulang ke Amerika Syarikat lewat hari ini.

"Ya, ia benar. (Dia) sudah mendapatkan tiket," kata jurucakap kementerian undang-undang Bali, I Putu Surya Dharma kepada wartawan.

Dalam kes yang digelar "pembunuhan bagasi", Mack dijatuhi hukuman penjara 10 tahun pada 2015 manakala teman lelakinya Tommy Schaefer dijel 18 tahun kerana membunuh Sheila von Wiese Mack yang juga seorang sosialit Chicago di Bali.

Schaefer, bapa kepada anak Mack, membelasah mangsa berusia 62 tahun itu hingga mati dengan menggunakan mangkuk buah dalam pertengkaran di hotel mewah St. Regis.

Pasangan itu kemudian memasukkan mayat mangsa ke dalam bagasi dan meninggalkannya dalam sebuah teksi lalu melarikan diri. Bagaimanapun mereka berjaya ditangkap polis.

Mack, yang hamil ketika itu didapati bersalah atas tuduhan lebih ringan membantu pembunuhan tersebut.

Sebelum ini, peguam Mack memberitahu AFP bahawa dia tidak mahu anak perempuannya dihantar pulang dan "diburu media (Amerika)".

Sejak pandemik melanda, Mack, yang kini fasih berbahasa Indonesia dan Bali, hanya mampu menghubungi anak perempuanya menerusi panggilan video, kata seorang pegawai penjara.

Pembunuhan pada 2014 itu memeranjatkan pulau penginapan yang selalunya aman itu, dengan butiran tentang pembunuhan mengerikan itu didedahkan sewaktu perbicaraan yang diikuti dengan teliti.

Mahkamah diberitahu bagaimana mayat von Wiese Mack yang teruk dibelasah ditemui dalam teksi di luar hotel mewah di mana mangsa tinggal bersama anak perempuannya itu dan Schaefer.

Pasangan itu melarikan diri ke kawasan lain di Bali sebelum polis memberkas kedua-duanya.

Schaefer yang kini masih di penjara mengaku bersalah membunuh mangsa sewaktu perbicaraan tetapi mendakwa dia mempertahankan diri ketika bertengkar dengan von Wiese Mack yang marah kerana anak perempuannya itu hamil.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan