Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wanita Aceh kini keluar jadi pencari nafkah utama pasca gempa bumi

Bencana alam yang melanda Aceh bukan sahaja mengubah geografi negara itu tetapi juga peranan wanita di sana - dari suri rumah kepada pencari nafkah utama untuk seisi keluarga. 

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bencana alam yang melanda Aceh bukan sahaja mengubah geografi negara itu tetapi juga peranan wanita di sana - dari suri rumah kepada pencari nafkah utama untuk seisi keluarga.

Sebagai mendukung tanggungjawab baru itu Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) memulakan 'Project Resilient', tiga tahun lalu.

Wartawan BERITAmediacorp, Izwan Ohtman dan Ummu Rabbisyfina turun ke Kampung Lancang Paru, Aceh untuk melihat sendiri bagaimana bantuan yang dihulurkan itu mengubah nasib mereka.

WANITA PENCARI NAFKAH KELUARGA

Secara tradisional, peranan kaum wanita di Aceh lebih menjurus kepada menjaga dan mendidik anak.

Namun selepas gempa bumi dahsyat melanda Aceh pada 2016, mereka sudah mula menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Malah, ada dalam kalangan mereka terpaksa menjadi pencari nafkah utama keluarga, dengan kebanyakan daripada mereka kini menjadi petani garam.

Maka tidak hairanlah, kaum wanita menjadi tumpuan bantuan yang dihulurkan badan kemanusiaan Singapura - Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) dengan kerjasama Mercy Relief serta Pusat Kajian dan Perlindungan Anak (PKPA).

"Pendekatannya ialah untuk memberi keupayaan ataupun pemerkasaan kepada golongan wanita di sini sebagai satu kuasa atau 'force' dari segi pembangunan ekonominya.

"Jadi keputusan pihak Mercy Relief untuk fokuskan usaha ini terhadap kaum wanita yang tepat dan saya rasa satu yang berkesan," tekan Encik Mohd Helmy Mohd Isa, yang mewakili Lembaga Pemegang Amanah RLAF ke Aceh.

WANITA DIAJAR MENABUNG

Menerusi 'Project Resilient', 107 penduduk wanita Kampung Lancang Paru dilatih untuk membuat perancangan perbelanjaan bermula dengan menabung hasil pendapatan mereka.

Antara penduduk yang mengikuti projek itu ialah Cik Mutia Ilyas, ibu dua orang anak yang dahulunya tidak pernah bekerja.

"Dulu kita tidak menghematkan wang, sekarang sudah boleh. Sudah kita simpan ke Credit Union (CU). Dulu kan kita pinjam di perbadanan, itu banyak bunganya. Kalau di sini tidak, satu peratus menurun daripada korporasi itu," kongsi Cik Mutia.

Di bawah projek itu, peserta diajar untuk menyimpan wang pendapatan mereka di Credit Union (CU).

Bagi memastikan mereka mempunyai cukup simpanan bagi menampung masa-masa sukar, mereka hanya boleh mengeluarkan wang simpanan bagi tujuan perubatan, pendidikan, pertanian dan keperluan keluarga selepas enam bulan.

Secara tidak langsung, program itu juga mengajar wanita-wanita ini untuk menjadi celik huruf.

"Ada beberapa anggota yang tidak faham bahasa Indonesia, tidak boleh menulis pada latihan – latihan selanjutnya mereka curi-curi waktu untuk belajar membaca. Kemudian mereka langsung menulis.

"Pada awalnya mereka tidak mahu menulis. Tapi berikutnya mereka akhirnya mahu menulis, walaupun curi-curi kerana rasa malu, usia tua mula pelajaran," kata Cik Soniy Sucihati Saniman, seorang fasilitator dan konsultan pembangunan masyarakat PKPA.

TRADISI PEMERKASAAN WANITA ACEH

Menurut pakar sosiologi, Dr Eka Sri Mulyani, bantuan untuk kaum wanita lebih mudah direaliasasikan kerana sifat wanita Aceh yang mudah untuk menerima pembaharuan.

"Memamg sudah ada di dalam masyarakat dengan caranya sendiri sebenarnya budaya – budaya itu juga ada yang memperdayakan seperti itu.

"Jadi, mereka sebenarnya sudah punya rangka berfikir dan juga tradisi yang sudah ada di sana," tekan Profesor itu lagi.

Lantaran itu, usaha memperkasakan wanita-wanita di sini jelas penting bagi menyumbang kepada kemampanan ekonomi penduduk Aceh. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan