Images
  • twin babies
    (Gambar: Everton Powell/Facebook)

Wanita 74 tahun lahirkan bayi kembar

GUNTUR, INDIA: Seorang warga emas berusia 74 tahun dari India menjadi ibu tertua untuk melahirkan anak, dengan para doktor menggelarkan bayi kembar perempuannya sebagai "keajaiban perubatan".

Pasangan ibu bapa, Erramatti Mangayamma dan suaminya Yaramati Sitarama Rajarao, 78 tahun, menggunakan kaedah persenyawaan in vitro (IVF) untuk menimang kedua-dua cahaya mata pertama mereka. Demikian menurut para doktor mereka seperti yang dilaporkan Times of India.

Bayi-bayi yang cukup bulan itu dilahirkan menerusi pembedahan Cesarean pada 5 September lalu di sebuah hospital swasta di Guntur, terletak di pantai timur India di Andhra Pradesh.

Pasangan itu berkongsi mereka sudahpun berusaha untuk mendapatkan zuriat sepanjang perkahwinan mereka selama 57 tahun tetapi seringkali gagal meskipun setelah menjalani rundingan berterusan dengan doktor-doktor serta pemimpin agama.

Manngayamma putus haid hampir 25 tahun lalu. Maka itu, kongsi doktor Manngayamma, telur diambil oleh seorang penderma untuk disenyawakan dengan sperma suaminya bagi menjalani rawatan IVF tersebut.

Menurut Times of India, Mangayamma kemudian berbadan dua hanya setelah satu percubaan IVF dan sebuah pasukan seramai 10 doktor membantunya sepanjang kehamilan dan kelahiran kembar beliau.

Ibu lanjut usia itu bahkan menjalani pemeriksaan psikologi untuk memastikan beliau benar-benar bersedia secara mental, menurut doktornya.

Bagaimanapun, kelahiran tersebut membangkitkan keprihatinan dalam kalangan karyawan etika perubatan yang menyoalkan kesesuaian membantu seorang wanita untuk hamil pada usia 70-an.

Menurut satu laporan pada 2015 oleh Persatuan bagi Teknologi Membantu Kehamilan, wanita berusia lebih 44 tahun yang menggunakan telur mereka sendiri mempunyai peluang purata 0.6 peratus untuk hamil kandungan cukup bulan yang sihat.  

- Agensi berita/FZ/fz

Top