Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Wang simpanan, tabung haji lesap diperdaya sindiket Macau Scam

Wang simpanan seorang guru wanita sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan lesap selepas dia menuruti arahan daripada anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'Inspekor Narita'.

Anggaran Waktu Membaca:
Wang simpanan, tabung haji lesap diperdaya sindiket Macau Scam

(Gambar: Manan Vatsyayana/AFP)

Diterbitkan : 31 Mar 2019 07:25PM Dikemas Kini : 31 Mar 2019 07:28PM

KUANTAN: Wang simpanan seorang guru wanita sebuah sekolah berasrama penuh di Kuantan lesap selepas dia menuruti arahan daripada anggota sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'Inspekor Narita'.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintenden Mohd Wazir Mohd Yusuf, berkata mangsa, yang berusia 51 tahun, mendakwa wang itu merupakan simpanannya di Tabung Haji dan akaun bank peribadinya. Ia termasuk pinjaman yang baru diluluskan berjumlah RM80,000 (S$26,600).

Menurut Encik Mohd Wazir, wanita itu menjadi mangsa sindiket tersebut selepas menerima panggilan telefon pada 28 Februari, kononnya daripada pegawai bank bahagian pinjaman di Kuala Lumpur yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan selama tiga bulan.

"Mangsa kemudiannya diarahkan berhubung dengan Inspektor Narita yang memberitahu dia terlibat dengan kes penggubahan wang haram bernilai RM1.5 juta (S$498,000) dan suspek berjanji akan membantu menyelesaikan masalah itu, jika mangsa menuruti arahannya.

"Suspek meminta mangsa untuk menukar nombor telefon yang didaftarkan pada akaun Tabung Haji dan bank akaun miliknya kepada nombor lain yang diberikan dan dilarang membuat sebarang transaksi bank selama seminggu," katanya hari ini (31 Mac).

Encik Mohd Wazir berkata mangsa sekali lagi dihubungi suspek pada 21 Mac dan diarahkan untuk membuat pinjaman daripada bank lain sebanyak RM80,000 (S$26,600), kononnya bagi tujuan wang jaminan, yang diluluskan pihak bank pada 27 Mac.

Mangsa memaklumkan 'Inspektor Narita' berhubung kelulusan pinjaman itu, yang disusuli dengan arahan supaya memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank yang ditetapkan oleh suspek.

"Mangsa berbuat demikian pada 28 Mac lalu dan pada keesokan harinya, telah meminta rakannya yang bekerja sebagai penolong pengurus bank untuk menyemak baki akaunnya.

"Mangsa diberitahu terdapat transaksi pemindahan wang dari akaunnya dan akaun Tabung Haji yang diselaraskan dengan akaun itu ke dalam sebuah akaun lain berjumlah RM113,000 (S$37,500), menyebabkan dia berasa telah diperdayakan oleh Inspektor tersebut," katanya.

Siasatan berhubung kes itu dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.  

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan