Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Virus COVID-19 ditemui dalam sampel udara hingga 4 meter dari pesakit: kajian China

Satu penyelidikan baru yang mengkaji sampel udara dari wad hospital dengan pesakit COVID-19 mendapati virus itu boleh mengembara sehingga 4 meter - seganda jarak selamat di khalayak ramai yang ditetapkan garis panduan semasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Virus COVID-19 ditemui dalam sampel udara hingga 4 meter dari pesakit: kajian China

Sampel diambil dari sebuah hospital di Wuhan, Hubei, China yang menempatkan pesakit COVID-19 (Gambar: AFP/STR)

Diterbitkan : 12 Apr 2020 12:10AM Dikemas Kini : 12 Apr 2020 12:16AM

WASHINGTON: Satu penyelidikan baru yang mengkaji sampel udara dari wad hospital dengan pesakit COVID-19 mendapati virus itu boleh mengembara sehingga 4 meter - seganda jarak selamat di khalayak ramai yang ditetapkan garis panduan semasa.

Hasil awal kajian oleh para pengkaji China diterbitkan pada Jumaat di 'Emerging Infectious Diseases', sebuah jurnal Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat.

Mereka menambah kepada perbahasan semasa mengenai bagaimana penyakit itu menular, dengan para saintis sendiri berpendapat bahawa jumlah kecil virus yang mereka temui pada jarak tersebut tidak semestinya berjangkit.

Para pengkaji, yang diketuai oleh pasukan di Akademi Sains Perubatan Tentera di Beijing, menguji permukaan dan sampel udara dari unit penjagaan intensif dan wad COVID-19 di Hospital Huoshenshan di Wuhan. Wad-wad itu menempatkan seramai 24 pesakit antara 19 Feb hingga 2 Mac.

Para saintis mendapati bahawa virus itu paling banyak tertumpu di lantai wad, "mungkin kerana graviti dan aliran udara menyebabkan kebanyakan titisan virus jatuh ke lantai".

Tahap konsentrasi tinggi juga terdapat pada permukaan yang sering disentuh seperti tetikus komputer, tong sampah, susur katil dan pemegang pintu.

"Selain itu, separuh daripada sampel dari tapak kasut kakitangan perubatan ICU diuji positif," tulis pasukan itu. "Oleh itu, tapak kasut kakitangan perubatan mungkin berfungsi sebagai pembawa (virus)."

ANCAMAN MEREBAK MENERUSI UDARA?

Pasukan ini juga mengkaji transmisi yang disebut sebagai aerosol - di mana titisan virus adalah sangat halus sehingga berupaya terapung dan kekal di udara selama beberapa jam, berbanding titisan batuk atau bersin yang jatuh ke tanah dalam beberapa saat.

Mereka mendapati aerosol yang sarat dengan virus seringkali tertumpu berdekatan pesakit sehingga jarak 4m.

Satu dapatan menggalakkan adalah tiada anggota kakitangan hospital itu dijangkiti, "menunjukkan bahawa langkah berjaga-jaga yang tepat dapat mencegah jangkitan dengan berkesan", tulis para penulis kajian.

Mereka juga menawarkan nasihat yang bercanggah dengan panduan biasa: "Penemuan kami menunjukkan bahawa pengasingan di rumah bagi individu yang disyaki COVID-19 mungkin bukan strategi kawalan yang baik" memandangkan tahap pencemaran sekitaran.

Penyebaran virus korona menerusi aerosol adalah sesuatu yang dipertikaikan para saintis yang mengkajinya, kerana tidak jelas tahap kebolehjangkitan virus itu dalam kuantiti kecil.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setakat ini menganggap risikonya sangat kecil.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan