Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Vietnam tunda pembukaan semula pulau resort akibat kadar vaksinasi rendah

Vietnam menangguhkan rancangan untuk membuka semula pulau resort Phu Quoc kepada pelancong asing hingga November. Ini setelah ia gagal mencapai sasaran kadar imuniti kelompok akibat kekurangan bekalan vaksin, lapor media negara itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Vietnam tunda pembukaan semula pulau resort akibat kadar vaksinasi rendah

Permandangan dari sebuah restoran di Pulau Phuo Quoc di Vietnam. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 24 Sep 2021 04:55PM Dikemas Kini : 24 Sep 2021 04:57PM

HANOI: Vietnam menangguhkan rancangan untuk membuka semula pulau resort Phu Quoc kepada pelancong asing hingga November. Ini setelah ia gagal mencapai sasaran kadar imuniti kelompok akibat kekurangan bekalan vaksin, lapor media negara itu.

Negara Asia Tenggara itu, yang sekarang ini ditutup kepada semua pengunjung kecuali warga negara dan pelabur yang pulang, bergelut untuk mempercepat kempen vaksinasinya bagi membantu membendung kenaikan kes COVID-19 yang disebabkan oleh varian Delta dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pihak berkuasa pada awalnya merancang untuk membenarkan pelancong asing yang sudah divaksin untuk datang ke pulau Phu Quoc pada Oktober bagi menghidupkan semula sektor pelancongan dan merancakkan kembali ekonomi negara itu.

"Kami harus memvaksin penduduk di sini untuk mencapai imuniti kelompok tetapi bekalan vaksin semakin berkurangan," menurut akhbar VTC, yang dikendalikan oleh negara itu, memetik Ketua Jawatankuasa Rakyat Kota Phu Quoc, Huynh Quang Hung.

Pada minggu lalu, menurut pihak berkuasa, pulau itu memerlukan 250,000 hingga 300,000 dos tambahan untuk mencapai imuniti kelompok.

Sejauh ini hanya 2.9 peratus penduduk Kien Giang, iaitu wilayah di mana terletaknya Phu Quoc, sudah menerima dua dos, menurut data rasmi.

Secara keseluruhan, 7.3 peratus daripada 98 juta penduduk Vietnam sudah divaksin sepenuhnya iaitu kadar yang terendah dalam rantau itu.

Pulau Phu Quoc pada Isnin (20 Sep) mengesan kluster baru COVID-19 setelah beberapa bulan tidak menerima sebarang kes tempatan. Namun pihak berkuasa wilayah itu menyatakan bahawa keadaan terkawal dan tidak akan menjejas rancangan pembukaan semula.

Pihak berkuasa menyatakan bahawa Phu Quoc akan dibuka secara berperingkat selama enam bulan bermula dari 20 November, dengan sehingga tiga penerbangan sewa yang akan mendarat di sana setiap minggu.

Di bawah rancangan itu, pulau tersebut berharap dapat menerima 3,000 hingga 5,000 pengunjung sepanjang tempoh percubaan, dengan ujian wajib COVID-19 dijalankan oleh pihak berkuasa, menurut VTC dalam laporan pada Khamis (23 Sep).

Bagaimanapun, tidak jelas jika pengunjung harus menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari seperti yang diminta oleh kementerian kesihatan Vietnam.

Ketibaan pengunjung asing ke Vietnam merosot dari 18 juta pada tahun 2019, apabila pendapatan pelancongan adalah AS$31 bilion (S$42 bilion), atau hampir 12 peratus keluaran dalam negeri kasar, kepada 3.8 juta tahun lalu.

Sumber : Reuters/RB/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan