Images
  • vietnam covid-19
    (Gambar: AFP)

Vietnam rayu rakyat sumbang dana beli vaksin COVID-19

HANOI: Vietnam yang pernah dijadikan sebagai teladan kepada seluruh dunia atas kejayaannya membendung penularan COVID-19, kini meminta sumbangan derma daripada rakyatnya untuk membeli vaksin sedang ia terkial-kial membendung gelombang baru koronavirus.

Negara Asia Tenggara itu baru memvaksin hanya sekitar satu peratus daripada penduduknya yang seramai hampir 100 juta, dan pihak berkuasa semakin bimbang terhadap jumlah kes jangkitan yang semakin meningkat di negara itu.

Sejak minggu lalu, para penduduk menerima sehingga tiga pesanan teks yang menggesa mereka supaya menyumbang dana kepada pembelian vaksin COVID-19 manakala para pegawai awam pula digalak supaya mendermakan gaji sehari mereka.

Sesetengah penduduk yang berasa bimbang dengan kesan virus itu terhadap ekonomi Vietnam - salah satu ekonomi dunia yang mencatat pertumbuhan pada tahun lalu - memberitahu AFP bahawa mereka menyokong usaha untuk mengumpul dana.

Nguyen Tuan Anh, seorang pegawai awam, memberitahu AFP bahawa beliau menyumbang sekitar AS$50 (S$66) menerusi pindahan bank dan bayaran melalui SMS kerana vaksin akan memastikan "ekonomi Vietnam akan kembali stabil dan dapat terus berkembang".

Wilayah-wilayah perindustrian di utara Vietnam yang menempatkan kilang-kilang utama seperti Samsung dan Foxconn - terjejas teruk akibat penularan terkini.

Di merata Vietnam, berpuluh-puluh ribu penduduk hilang mata pencarian, menurut media tempatan, dengan restoran-restoran terpaksa ditutup di hab-hab utama seperti Hanoi dan Bandar Ho Chi Minh.

Jumlah kes meningkat lebih tiga kali ganda sejak April untuk mencecah hampir 9,000 kes.

Meskipun jumlah itu adalah rendah jika dibandingkan dengan sebilangan besar negara-negara Asia Tenggara, kadar vaksinasi bagi setiap penduduk di Vietnam adalah yang paling rendah di rantau ini, dan antara yang terendah di Asia, menurut perangkaan AFP.

- AFP/HA/ha

Top