Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Video budak kerdil mangsa buli tular; ibu rayu hentikan perbuatan kejam ini

Satu video menunjukkan seorang budak lelaki warga Australia berusia sembilan tahun menangis tersedu-sedu dan berkata dia ingin membunuh diri kerana teruk dibuli dibanjiri sokongan yang melimpah-ruah dari seluruh dunia sejak ia dimuatnaikkan pada Selasa (19 Feb). 

Anggaran Waktu Membaca:
Video budak kerdil mangsa buli tular; ibu rayu hentikan perbuatan kejam ini

Petikan gambar dari video penstriman secara langsung oleh Yarraka Bayles. menunjukkan anaknya yang dibuli, Quaden, menangis dan berkata dia ingin membunuh diri.

Diterbitkan : 21 Feb 2020 10:38PM Dikemas Kini : 21 Feb 2020 10:50PM

BRISBANE: Satu video menunjukkan seorang budak lelaki warga Australia berusia sembilan tahun menangis tersedu-sedu dan berkata dia ingin membunuh diri kerana teruk dibuli dibanjiri sokongan yang melimpah-ruah dari seluruh dunia sejak ia dimuatnaikkan pada Selasa (19 Feb).

Dalam penstriman video secara langsung oleh ibunya Yarraka Bayles, Quaden Bayles, menangis teresak-esak di latar sedang ibunya menceritakan tentang bagaimana beliau melihat anaknya dibuli oleh rakan-rakan sedarjah di sekolah.

Dalam video itu, Quaden boleh didengar mengatakan bahawa dia mahu menikam dirinya dan ingin seseorang membunuhnya.

"Saya mahu orang ramai tahu - ibu bapa, pendidik, guru - ini adalah kesan pembulian. Inilah yang berlaku akaibat perbuatan buli. Jadi, didiklah anak-anak anda! Keluarga anda, rakan-rakan anda?" rayu si ibu.

"Anda mungkin terfikir mengapa kanak-kanak membunuh diri?"

Cik Bayles malah berkata Quaden pernah cuba membunuh diri beberapa kali kerana dia "tidak tahan dibuli...setiap hari apabila dia ke sekolah atau di depan khalayak ramai".

Pada jam 9.00 malam hari Jumaat (21 Feb), video itu sudah ditonton lebih 20 juta kali.

USAP ANAK DI KEPALA IBARAT ANAK ANJING

Menurut NITV News, Quaden dilahirkan dengan akondroplasia atau kekerdilan yang disebabkan oleh gangguan pengosan di dalam tulang panjang anggota dan tulang muka tertentu semasa perkembangan.

Ibu Quaden memberitahu NITV News bahawa anaknya menjadi "histeria" selepas dibuli di sekolahnya di Brisbane.

Pada hari kejadian, pasukan bola keranjang Brisbane Bullets datang mengunjungi sekolah Quaden.

Sedang Quaden dan rakan-rakan sekolahnya beratur untuk mendapatkan tandatangan para pemain pada singlet mereka, ibunya ternampak salah seorang rakan sedarjah Quaden "mengusapnya di kepala seperti seekor anak ajing" dan "mengejek ketinggiannya".

"Anak perempuan saya dan saya saling berpandangan dan kami membuat isyarat kepada Quaden untuk menanyakan sama ada beliau baik-baik sahaja. Dia membalas isyarat ibarat 'tidak dan memandang saya dalam ketakutan seperti 'jangan buat fasal ibu'," Cik Bayles memberitahu NITV News.

Cik Bayles berkata percubaan pertama Quaden untuk membunuh diri adalah ketika usianya enam tahun selepas datuknya meninggal dunia. Sejak dari itu, lapor NITV News, dia seringkali membuat percubaan berterusan untuk membunuh diri dengan ada beberapa episod hampir benar-benar berlaku.

SOKONGAN DATANG MELIMPAH

Sejak video itu menjadi tular pada Selasa, Quaden menarik perhatian ramai orang dari setiap pelosok dunia termasuk barisan selebriti yang bersuara untuk memberi dorongan kepadanya.

"Quaden - Anda lebih kuat dari yang anda tahu," kata pelakon Hugh Jackman dalam sebuah video di Twitter. "Tidak kira apa sekali pun, saya adalah kawan anda."

Pelakon The Walking Dead, Jon Bernthal, memberitahu Quaden bahawa keluarganya sudah banyak belajar daripada diri kanak-kanak itu.

"Anda menyuntik inspirasi ke dalam diri kami dan di dalam rumah kami, anda adalah wira. Terima kasih atas keberanian anda, terus cekalkan hati kerana dunia memerhatikan anda dan anda mempunyai banyak kuasa yang begitu indah."

Seorang lagi pelakon The Walking Dead, Jeffrey Dean Morgan, berkata beliau tahu daripada pengalamannya sebagai seorang ayah bahawa "ada kanak-kanak yang teruk perangai mereka".

"Apa yang saya ingin anda tahu adalah anda ada kawan dan ini termasuk saya. Saya adalah kawan anda," katanya dalam sebuah video di Twitter.

Sejak insiden itu, Quaden diundang oleh pasukan ragbi The Indigenous All Stars untuk memimpin pasukan itu masuk padang bagi perlawanan Liga Ragbi Nasional All Stars pada Sabtu.

Satu gerakan #StandForQuaden juga dilancarkan dengan para penyokong menggalak penonton perlawanan itu supaya berdiri pada minit kesembilan perlawanan bagi memberi penghargaan kepada Quaden.

Satu kempen GoFundMe juga ditubuhkan oleh para penyokong Quaden bagi membawanya ke Disneyland. Ia sudahpun berjaya mengumpul AS$$167,000 (S$233,883) setakat ini, jauh melebihi sasaran awal sebanyak AS$10,000 (S$14,000). 

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan