Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Varian India COVID-19 ditemui di sekurang-kurangnya 17 negara: WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Selasa (27 Apr) bahawa varian COVID-19 yang dikhuatiri menyumbang kepada lonjakan kes koronavirus di India telah dikesan di belasan negara.

Anggaran Waktu Membaca:
Varian India COVID-19 ditemui di sekurang-kurangnya 17 negara: WHO

Seorang wanita pengsan setelah melihat jenazah suaminya di hospital COVID-19 di Ahmedabad, India, pada 27 Apr 2021. (Gambar: AP/Ajit Solanki)

Diterbitkan : 28 Apr 2021 11:29AM Dikemas Kini : 28 Apr 2021 11:34AM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada Selasa (27 Apr) bahawa varian COVID-19 yang dikhuatiri menyumbang kepada lonjakan kes koronavirus di India telah dikesan di belasan negara.

Agensi kesihatan PBB itu menyatakan COVID-19 jenis B1617 yang pertama kali ditemui di India, setakat Selasa dikesan dalam lebih dari 1,200 urutan yang dimuat naik ke pangkalan data akses terbuka GISAID "dari sekurang-kurangnya 17 negara".

WHO baru-baru ini menyenaraikan B1617 - yang merangkumi beberapa bahagian kecil garis keturunan virus dengan mutasi dan ciri yang berbeza sedikit - sebagai "varian tumpuan".

Namun setakat ini badan itu belum lagi menyifatkannya sebagai "varian menimbulkan keprihatinan".

Label itu menunjukkan ia lebih berbahaya berbanding versi asal virus itu, misalnya lebih mudah berjangkit, lebih membawa maut atau dapat mengelak perlindungan vaksin.

India menghadapi lonjakan jumlah kes baru dan kematian dalam pandemik tersebut, dan kebimbangan kian meningkat bahawa varian tersebut mungkin menyumbang kepada bencana yang berlaku.

Ledakan jumlah jangkitan di India - 350,000 kes baru dicatat pada Selasa sahaja - telah meningkatkan jumlah kes global kepada 147.7 juta.

Virus itu telah mengorbankan lebih 3.1 juta nyawa di seluruh dunia.

WHO mengakui bahawa pemodelan awalnya berdasarkan urutan yang dihantar kepada GISAID menunjukkan "bahawa B1617 mempunyai kadar pertumbuhan yang lebih tinggi berbanding varian-varian lain yang menular di India, yang menunjukkan kemungkinan kebolehjangkitan lebih tinggi".

Ia menekankan bahawa jenis-jenis lain yang menular pada waktu yang sama juga menunjukkan kebolehjangkitan lebih tinggi dan bahawa kombinasi itu "mungkin memainkan peranan dalam lonjakan kes di negara tersebut sekarang".

WHO menekankan bahawa "pendorong lain" mungkin menyumbang kepada lonjakan, termasuk kurang pematuhan terhadap langkah-langkah kesihatan awam dan juga perhimpunan besar-besaran.

Agensi PBB itu turut menekankan "kajian menyeluruh lebih lanjut" ke atas ciri-ciri B1617 dan varian-varian lain, termasuk kesannya terhadap kebolehjangkitan, kemudaratan dan risiko jangkitan semula, "diperlukan dengan segera".

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan