Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Varian Delta dijangka dominan dalam bulan-bulan mendatang

Varian Delta COVID-19 yang amat mudah dijangkiti dijangka menjadi varian dominan dalam bulan-bulan mendatang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini (21 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Varian Delta dijangka dominan dalam bulan-bulan mendatang

Indonesia antara negara yang sedang dibelenggu varian Delta. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 21 Jul 2021 11:14PM Dikemas Kini : 21 Jul 2021 11:18PM

GENEVA: Varian Delta COVID-19 yang amat mudah dijangkiti dijangka menjadi varian dominan dalam bulan-bulan mendatang, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini (21 Jul).

Varian Delta, yang pertama kali dikesan di India, kini dikesan di 124 negara - naik 13 berbanding minggu lalu. Malah, ia sudahpun membentuk lebih tiga suku spesimen berjujuk di kebanyakan negara utama, tambah WHO.

"Ia dijangka akan menular dengan pantas berbanding varian lain dan menjadi varian dominan pada bulan-bulan mendatang," menurut agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu dalam kemas kini mingguan epidemiologinya.

Dalam kalangan tiga varian koronavirus yang membimbangkan, Alpha yang pertama kali dikesan di Britain dilaporkan di 180 negara (naik enam berbanding minggu lalu). Beta, yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan dilaporkan di 130 negara (naik tujuh) dan Gamma, pertama kali dikesan di Brazil dilaporkan di 78 negara (naik tiga).

Menurut jujukan SARS-CoV-2 yang dihantar kepada inisiatif sains GISAID sepanjang empat minggu hingga 20 Julai, penularan Delta menjangkaui 75 peratus di beberapa negara.

Ini termasuk Australia, Bangladesh, Britain, China, Denmark, India, Indonesia, Israel, Portugal, Rusia, Singapura dan Afrika Selatan.

KES NAIK 12%

Pertubuhan yang berpangkalan di Geneva itu menyatakan secara keseluruhannya, 3.4 juta kes baru COVID-19 dilaporkan dalam seminggu menjelang 18 Julai - naik 12 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Pada kadar tersebut, ia diramalkan bahawa jumlah kumulatif kes yang dilaporkan secara global boleh melebihi 200 juta dalam tiga minggu mendatang," menurut WHO.

Ia turut menyatakan bahawa kenaikan global itu nampaknya dipacu oleh empat faktor: Lebih banyak varian yang lebih mudah dijangkiti; pelonggaran langkah-langkah kesihatan awam; lebih banyak pergaulan sosial dan jumlah besar orang yang belum divaksinasi.

Sumber : AFP/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan