Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Vaksin virus korona China mungkin siap bagi kegunaan umum pada Nov

Vaksin virus korona yang dihasilkan di China mungkin boleh mula digunakan orang ramai seawal bulan November, menurut seorang pegawai daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC).

Anggaran Waktu Membaca:
Vaksin virus korona China mungkin siap bagi kegunaan umum pada Nov

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 15 Sep 2020 03:41PM Dikemas Kini : 15 Sep 2020 03:43PM

BEIJING: Vaksin virus korona yang dihasilkan di China mungkin boleh mula digunakan orang ramai seawal bulan November, menurut seorang pegawai daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC).

China mempunyai empat vaksin COVID-19 yang sedang menjalani ujian klinikal tahap akhir. Sekurang-kurangnya tiga daripadanya sudahpun ditawarkan kepada para pekerja khidmat penting di bawah program penggunaan kecemasan yang dilancarkan pada bulan Julai.

Ujian klinikal Fasa 3 berjalan lancar dan vaksin-vaksin itu boleh dimanfaatkan orang ramai pada bulan November atau Disember, kata ketua pakar biokeselamatan CDC Guizhen Wu dalam wawancara bersama stesen televisyen negara pada lewat Isnin (14 Sep).

Cik Wu, yang berkata beliau tidak mengalami sebarang gejala luar biasa sejak beberapa bulan lalu selepas mengambil vaksin eksperimen itu sendiri pada bulan April, tidak memaklumkan secara khusus vaksin mana yang dimaksudkannya itu.

Unit farmaseutikal gergasi negara Kumpulan Farmaseutikal Negara China (Sinopharm) dan Sinovac Biotech yang tersenarai di bursa Amerika Syarikat sedang menghasilkan tiga vaksin di bawah program penggunaan kecemasan negara itu. Vaksin COVID-19 keempat yang sedang dihasilkan oleh CanSino Biologics diluluskan untuk digunakan oleh tentera China pada bulan Jun.

Sinopharm mendedahkan pada bulan Julai vaksinnya boleh digunakan orang ramai menjelang hujung tahun ini selepas tamat ujian Fasa 3.

Pengilang vaksin global sedang berusaha menghasilkan vaksin berkesan bagi melawan virus berkenaan yang membunuh lebih 925,000 orang. Para penghasil vaksin di negara Barat berikrar pada awal bulan ini untuk berpegang kepada piawai pengajian saintifik dan menolak sebarang tekanan politik untuk mempercepatkan prosesnya.

Sumber : Reuters/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan