Images
  • Pesawat Malaysia
    Pesawat Airbus 330-300 Malaysia Airlines tiba dengan membawa vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech pada 21 Feb. (Gambar: BERNAMA)

Vaksin sudah tiba di M'sia, buka lembaran baru perangi COVID-19

SEPANG: Vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu untuk melindungi penduduk di Malaysia, selamat tiba apabila pesawat khas yang membawa kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini (21 Feb).

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19 itu mendarat pada pukul 10.07 pagi tadi.

Dikendalikan MAB Kargo Sdn Bhd (MASKargo) iaitu cabang kargo syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd, penerbangan Passenger-to-Cargo (P2C) itu menggunakan pesawat Airbus 330-300 bagi membawa vaksin COVID-19 tersebut.

Sebaik mendarat, proses pemindahan vaksin yang ditempatkan dalam peranti muatan unit (ULD) dari bahagian kargo pesawat ke trak milik sebuah syarikat logistik, DHL Express berlangsung di kawasan Advanced Cargo Centre (ACC), KLIA.

Antara yang hadir menyaksikan detik bersejarah ketibaan vaksin tersebut adalah Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan Dr Wee Ka Siong.

POLIS SEDIA PASUKAN PENGIRING BAGI JAMIN KESELAMATAN VAKSIN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyediakan pasukan pengiring untuk jaminan keselamatan bagi setiap pergerakan vaksin COVID-19 yang tiba di negara ini, kata Timbalan Pengarah (Gerakan) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Azri Ahmad.

Beliau berkata bagi ketibaan kumpulan pertama vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, 150 anggota PDRM terlibat dalam mengiringi 312,390 dos vaksin itu, selain penglibatan aset-aset PDRM seperti motosikal berkuasa tinggi, kereta peronda polis dan balai polis bergerak.

Menurutnya sebaik tiba di negara itu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kumpulan pertama vaksin itu akan dihantar ke tiga lokasi Pusat Simpanan Vaksin (PSV) milik syarikat logistik DHL iaitu di Subang, Selangor; Bayan Lepas, Pulau Pinang dan Senai, Johor.

“Pergerakan vaksin berkenaan untuk penghantaran ke 16 PSV milik Kementerian Kesihatan (KKM) di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor pula akan dimulakan esok (22 Feb).

“PDRM telah mengenal pasti laluan selamat bagi vaksin berkenaan dan anggota dari pelbagai jabatan termasuk trafik dan cawangan khas akan terlibat dalam penugasan ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Encik Azri berkata selain terlibat dalam penugasan mengiringi kesemua pergerakan vaksin berkenaan, PDRM juga bertanggungjawab mengawal PSV milik syarikat logistik dan KKM, dengan menyediakan anggota statik dan juga balai polis bergerak.

Beliau berkata PDRM juga akan sentiasa membuat penilaian mengenai kemungkinan terdapat ancaman ketika pergerakan dan penyimpanan vaksin itu.

“Kami menganggap ini adalah tugasan yang sangat penting, kerana negara sudah menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan ia amat penting bagi membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata tiada keperluan untuk jalan-jalan di Selangor ditutup bagi memberikan kawalan keselamatan terhadap pergerakan vaksin.

“Persediaan adalah baik untuk kami tentukan keselamatan vaksin berkenaan dan polis akan mengawal ketat, serta tiada keperluan juga untuk melakukan penutupan jalan,” katanya.

- Bernama/NK/nk

Top