Images
  • moderna vaccine
    (Gambar: AFP)

Vaksin berupaya kurangkan 40% penularan varian Delta, dedah WHO

GENEVA: Vaksin COVID-19 berupaya mengurangkan penularan varian Delta sekitar 40 peratus, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu (24 Nov), sambil memberi amaran bahawa orang ramai semakin bersikapl lewa isu terhadap keselamatan berkaitan pengambilan vaksin.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata ramai individu lengkap divaksin mempunyai salah tanggap bahawa pengambilan vaksin bermakna mereka tidak lagi perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang lain.

Individu lengkap divaksin mesti terus mematuhi langkah-langkah bagi mengelakkan daripada dijangkiti virus itu dan menjangkiti orang lain, tegas Dr Tedros, sambil menekankan betapa varian Delta yang lebih mudah berjangkit bermakna vaksin-vaksin tidak begitu berkesan dalam mencegah penularan.

"Kami prihatin terhadap salah tanggap seolah-olah vaksin sudah menamatkan pandemik dan individu sudah divaksin tidak lagi perlu mengambil langkah berjaga-jaga yang lain," kata Dr Tedros kepada para wartawan.

"Vaksin menyelamatkan nyawa namun ia tidak mencegah sepenuhnya penularan jangkitan.

"Data menunjukkan bahawa sebelum penularan varian Delta, vaksin berupaya mengurangkan penularan jangkitan sekitar 60 peratus. Dengan adanya varian Delta, peratusan itu merosot kepada sekitar 40 peratus."

Varian Delta yang lebih mudah berjangkit kini menular di seluruh dunia setelah ia mengatasi varian-varian virus yang lain.

"Jika anda sudah divaksin, anda mempunyai risiko lebih rendah mengalami jangkitan teruk dan kematian namun anda tetap berisiko dijangkiti dan menjangkiti orang lain," kata Encik Tedros.

"Sekalipun anda lengkap divaksin, anda perlu terus mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan daripada dijangkiti dan menjangkiti orang lain yang boleh membawa maut."

Ini bermakna memakai pelitup, menjaga jarak selamat, mengelakkan tempat-tempat yang dikunjungi ramai dan mengadakan pertemuan di luar atau hanya dalam bangunan yang mempunyai pengudaraan baik, katanya.

- AFP/HA/ha

Top